Tidak perlu risau derma darah ketika musim pandemik

Iklan
Beh Zeng Kang

SHAH ALAM - Penderma darah khususnya golongan belia tidak perlu takut untuk menderma darah meskipun negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

Ikon Rakan Muda Negeri Perak dan Tokoh Belia Asean 2019, Beh Zeng Kang, 24, menegaskan bahawa seluruh staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengambil langkah penjagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak terjamin.

Iklan
Iklan

Zeng Kang turut menzahirkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan darah di kebanyakan pusat perubatan dan pusat tabung darah di seluruh Malaysia.

"Penularan pandemik Covid-19 antara punca kekurangan bekalan darah di pusat perubatan dan pusat tabung darah di Malaysia.

Iklan

"Jadi saya menyeru kepada masyarakat untuk pergi ke pusat perubatan berdekatan untuk meneruskan amalan mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zeng Kang yang sudah menderma darah sebanyak 34 kali sejak berumur 17 tahun turut menyarankan agar amalan menderma darah dapat diamalkan oleh seluruh ahli keluarga kerana memberi kesan positif kepada kesihatan seseorang.

Iklan

"Selain dapat membantu mereka yang memerlukan, penderma darah juga pastinya akan mendapat kebaikan atas kebaikan yang dilakukannya.

"Ia juga dapat memupuk nilai semangat kekitaan dan jiwa Rakan Muda dalam diri terutamanya golongan muda,” katanya.

Beliau yang juga Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut sentiasa menjunjung tinggi nilai dan ajaran berteraskan moto universiti tersebut iaitu ‘Ilmu, Budi dan Bakti’ dalam apa juga yang dilakukan.

"Selain daripada menjadi insan yang berilmu, kita harus menjadi individu yang berbudi dan berbakti dalam kalangan masyarakat untuk menyumbang kepada kemajuan negara demi kesejahteraan hidup bersama,” katanya.