ANKARA - Sebuah kilang tenusu di Turki diarah tutup selepas rakaman video memaparkan seorang pekerja berendam di dalam dandang (boiler) dipercayai mengandungi susu.
Klip itu turut menjadi tular di aplikasi perkongsian video TikTok yang memaparkan gelagat lelaki tersebut yang seronok 'mandi susu'.
Menurut Hurriyet Daily News, aksi pekerja itu dirakam di sebuah kilang susu di wilayah Konya dan individu itu dikenali sebagai Emre Sayar.
Difahamkan, Sayar bersama pemilik akaun TikTok, Ugur Turgut telah ditahan selepas lelaki tersebut menjadi 'popular'.
Rakaman video tersebut turut mencetuskan kemarahan pengguna di media sosial yang mula mempertikaikan kebersihan produk tenusu kilang terbabit.
Bagaimanapun, jurucakap kilang itu mengesahkan kontrak kerja Turgut telah dibatalkan kerana perbuatannya itu malah individu terbabit dikatakan tidak berendam dalam susu sebaliknya ia adalah campuran air dan cecair pencuci.
Jelasnya, video tersebut adalah cubaan untuk memburukkan reputasi syarikat terbabit.
Sementara itu, Pengurus Perhutanan dan Pertanian Konya, Ali Ergin mengarahkan siasatan dilancarkan ke atas kejadian itu.
"Kilang itu didenda dan dilarang beroperasi sehingga siasatan selesai kerana mereka membahayakan kesihatan orang ramai," lapor laman berita, Haberler. - Agensi