Empat negeri AS masih kira undi

Iklan
Rangkaian media di AS masih belum mengumumkan pemenang di Arizona, Georgia, North Carolina dan Alaska. - Foto: Agensi

WASHINGTON - Kebanyakan media utama di Amerika Syarikat (AS) telah mengisytiharkan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden pada Sabtu lalu selepas beliau meraih majoriti 270 undi elektoral diperlukan.

Namun, rangkaian media di negara itu masih belum mengumumkan pemenang di empat negeri; Alaska, Arizona, Georgia dan North Carolina.

Iklan
Iklan

Ketika ini, Biden memperoleh 279 undi elektoral mendahului pesaingnya daripada Republikan, Donald Trump yang mendapat 214 undi elektoral.

Walaupun Trump menang keempat-empat negeri tersebut, beliau masih tidak dapat mengejar angka 270 yang ditetapkan untuk diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Iklan

Berikut adalah negeri yang masih melakukan proses kiraan undi.

ARIZONA (11 undi elektoral)

Iklan

Berdasarkan kiraan 98 peratus undi, Biden meraih 49.5 peratus undi berbanding 49 peratus yang diraih Trump dengan margin tipis 16,985 undi. Fox News dan Associated Press (AP) mendakwa kemenangan berpihak kepada Demokrat hingga mencetuskan kemarahan Trump.

Media lain seperti The New York Times dan CNN masih enggan mengisytiharkan pemenang di Arizona yang merupakan kubu kuat Republikan.

GEORGIA (16 undi elektoral)

Lebih 98 peratus undi telah dikira di negeri tenggara AS tersebut yang secara konsisten memilih Republikan sejak 1996. Pada mulanya, Trump mendahului, namun dipintas Biden selepas kiraan undi pos di kawasan bandar utama seperti Atlanta.

Menurut data pilihan raya negeri, Demokrat kini berada di hadapan Republikan dengan lebih 10,350 undi.

NORTH CAROLINA (15 undi elektoral)

Kira-kira 98 peratus undi telah dikira di negeri yang menjadi kubu kuat Republikan secara tradisi.

Trump dikatakan mendahului Biden dengan kira-kira 75,000 undi dengan jumlah keseluruhan kira-kira 50 peratus undi berbanding Biden yang memperoleh 48.6 peratus.

ALASKA (3 undi elektoral)

Hanya 56 peratus undi telah dikira di Alaska kerana logistik yang sukar untuk mengumpulkan kertas undi dan memastikan tiada pengundi membuang undi sebanyak dua kali. Setakat ini, Trump mendahului dengan 62.9 peratus dan Demokrat tidak pernah menang di Alaska selama beberapa dekad.

306 undi elektoral?

Jika Biden menang di Arizona dan Georgia. Beliau akan memperoleh 306 daripada 538 undi elektoral, angka sama yang menyebabkan Trump 'menang besar' sekali gus menewaskan pesaingnya daripada Demokrat, Hillary Clinton pada 2016.