Bayaran BSHP pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selesai

Iklan

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan berusaha memastikan penyaluran Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) kepada pelajar kolej matrikulasi dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, ia termasuklah kepada pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Kedah bagi bulan Januari 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan dalam pengagihan berbanding tempoh yang dijadualkan disebabkan penyaluran waran peruntukan di awal tahun kepada kolej.

"Pihak pengurusan Kolej Matrikulasi Kedah juga telah mengambil tindakan segera bagi memastikan pengagihan BSHP dibuat sebaik sahaja waran peruntukan diterima.

Iklan

"Dalam kes ini, pihak pengurusan telah pun memberikan taklimat mengenai perkara tersebut kepada pelajar pada 6 Disember 2018 dan sekali lagi pada 24 Januari 2019 bahawa akan berlaku sedikit kelewatan dalam pengagihan pada bulan Januari 2019," jelas kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, pembayaran bagi bulan Januari telah dibuat pada 29 Januari 2019.

Iklan

"Selain itu, BSHP bulan Februari 2019 kepada pelajar Kolej Matrikulasi Kedah juga telah masuk ke akaun pelajar pada 29 Januari 2019. Ini bermakna pengagihan telah dibuat sekali gus bagi kedua-dua bulan Januari dan Februari," katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan menyatakan Kolej Matrikulasi Kedah juga tidak pernah mengadakan Dapur Jalanan untuk pelajar yang mengalami masalah kewangan.

"Sebaliknya, bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan kolej matrikulasi mengadakan program-program khas, antaranya Program Anak Angkat Cafeteria dan Pensyarah.

Kenyataan itu turut menjelaskan isu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih sistem paip tangki utama serta tangki blok kediaman felo di kolej matrikulasi itu telah selesai dilaksanakan pada 12 November 2018 dengan kos RM20,000.