PRK Batu Sapi pencetus kempen era baharu

Iklan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menunjukkan peta Batu Sapi ketika sidang media di Menara SPR. - Foto Bernama

PERSOALAN siapa lawan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) hampir terjawab apabila nama Ketua Penerangan Bersatu Sabah (Bersatu), Khairul Firdaus Akbar Khan antara yang disebut-sebut bakal dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini.

Ketika beberapa parti daripada Gabungan Rakyat Sabah lebih awal mengumumkan tidak bertanding, namun Bersatu yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor seakan-akan mahu meneruskan tradisi 60 tahun sejarah Sabah yang tidak pernah menyaksikan kemenangan percuma di mana-mana kerusi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun sehingga kini, walaupun mengesahkan sudah ada calon namun Warisan masih mengunci mulut mengenai identiti individu tersebut dan menyerahkan kepada presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengumumkannya sebelum hari penamaan calon pada 23 November ini.

Dalam sejarah pilihan raya di Sabah, jarang sekali berlaku pertandingan satu lawan satu, biasanya jumlahnya berbilang penjuru seperti sehingga 11 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Bengkoka pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Iklan

Lima ke tujuh penjuru itu perkara biasa, apatah lagi tiga penjuru. Kemungkinan ada calon lain lagi pada 23 November ini bukanlah sesuatu yang luar biasa.

PRK Batu Sapi pastinya mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya berlangsung dalam keadaan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat kes Covid-19.

Iklan

Nyawa 32,962 pengundi di Batu Sapi selain pekerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan jentera parti bertanding kali ini menjadi taruhan.

Risiko

Justeru, walaupun SPR sudah menyenaraikan prosedur operasi standard (SOP) yang harus diikuti, namun Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun mahu SOP lebih ketat dirangka bagi memastikan risiko jangkitan virus itu dapat diminimumkan sepanjang proses PRK.

Beliau berkata, pihaknya yakin SPR akan mengambil pengajaran daripada PRN yang lalu.

"PRK Batu Sapi tidak dapat dielakkan kerana kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong bulan lalu.

"Namun, saya yakin SPR sudah mencadangkan dan mengambil tindakan untuk merangka penyediaan SOP yang lebih ketat bagi menghadapi PRK berkenaan,” katanya.

Mengikut SOP yang dikeluarkan SPR, penganjuran sebarang bentuk ceramah bagi tujuan berkempen adalah tidak dibenarkan.

Begitu juga dengan aktiviti ziarah yang biasa dilakukan calon atau penyokong parti ke rumah pengundi. Program jelajah mesra juga tidak dibolehkan.

Norma baharu ini nampaknya bukan golongan pendidik dan pelajar sahaja yang perlu bertemu di alam maya. Kali ini, persaingan PRK akan berlangsung di gelanggang maya tanpa jeritan semangat para penyokong.

Jika boleh dilaksanakan debat terbuka seperti pilihan raya presiden Amerika Syarikat tentu akan lebih menarik. Semua pengundi hanya perlu duduk di depan televisyen ataupun telefon pintar masing-masing dan membuat penilaian sebelum memilih calon mana yang boleh membela nasib mereka.

Dengan cara ini, risiko penularan Covid 19 akan dapat dikurangkan dan kemunculan Kluster Batu Sapi selepas pilihan raya nanti dapat dielakkan.

Sekiranya ini berjaya, tentunya proses berkempen untuk PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti akan memasuki era baharu.

Calon pilihan raya pastinya tidak perlu lagi berbelanja besar untuk berkempen. Menurut seorang mantan ahli Parlimen, beliau memerlukan RM50,000 untuk bertanding pada pilihan raya.

Kos itu termasuk wang deposit, keperluan bahan kempen serta pelbagai lagi. Kos ini mungkin meningkat mengikut peredaran masa.

Selain itu, sepanjang tempoh PKPB ini ramai yang terpaksa duduk di rumah dan menggunakan kemudahan dalam talian. Oleh itu, potensi untuk peningkatan kadar trafik dan capaian tontonan adalah lebih tinggi jika tiada masalah capaian internet di kawasan berkenaan.

Andai ada pertandingan di Batu Sapi, PRK itu harus menjadi pencetus era baharu kempen pilihan raya di Malaysia.

* Wan Normi Hasan ialah Ketua Projek Khas Sinar Harian Online