PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menyokong rayuan yang dikemukakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan TM Piala Malaysia.
Menurutnya, beliau bersedia untuk memastikan pasukan sentiasa mempersiapkan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat untuk beraksi di venue berkecuali yang dipohon oleh pihak MFL.
"Harap-harap kita masih boleh meneruskan saingan ini tetapi apa-apa pun kami tetap akan menghormati apa jua perancangan daripada MFL dan juga keputusan dari pihak Kerajaan.
"Yang penting adalah keselamatan semua orang dan untuk saya, tiada masalah pun kita beraksi di venue berkecuali termasuk daripada segi persiapan pemain juga tiada masalah sebab pasukan lain pun seperti kita juga.
"Jadi, ia adalah perancangan yang adil untuk semua pasukan dan saya rasa MFL juga sudah fikirkan yang terbaik untuk kami semua, jadi harap sesuatu yang positif akan diputuskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira pula menyifatkan rayuan yang dikemukakan oleh MFL itu adalah wajar memandangkan aksi piala berprestij itu hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja lagi.
"Kalau kita tengok perlawanan juga tidaklah banyak dan MFL membuat cadangan yang baik untuk kita beraksi di venue berkecuali kerana hanya itu sahaja solusi yang kita ada,” katanya.
Berkongsi pandangan sama iaitu pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff turut menyokong seandainya pihak kerajaan memberi lampu hijau agar saingan TM Piala Malaysia diteruskan.
"Terima kasih kepada MFL kerana membuat rayuan tersebut untuk kita cuba meneruskan juga saingan ini pada bulan November", katanya.