KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) berharap peruntukan berjumlah RM55 juta bagi program pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk ragbi yang diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu, dapat membantu menyemarakkan lagi pembangunan sukan ragbi di negara ini.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, peruntukan berkenaan secara keseluruhannya dilihat dapat dimanfaatkan bagi usaha-usaha menguruskan program-program pembangunan berkenaan selain meneruskan pelaksanaannya.
"Kami sukan kecil tapi punyai impian besar. Pengiktirafan ini adalah hasil pengorbanan besar penggiat sukan ragbi di negara ini di setiap peringkat melibatkan peringkat sekolah, daerah, kelab-kelab ragbi, negeri dan juga di peringkat kebangsaan.
"Oleh itu, kita akan teruskan program pembangunan kita dengan kerjasama erat bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian serta rakan-rakan kongsi daripada pihak swasta yang membantu kita sejak dahulu.
"Sebelum ini kita melaksanakan program pembangunan kita dengan serba kekurangan, namun sejak kebelakangan ini dengan pengiktirafan serta sokongan dari kerajaan sudah tentulah ia memberikan semangat kepada kita bagi meneruskan pembangunan sukan ragbi ini," katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan mengenai peruntukan berjumlah RM55 juta untuk program pembangunan sukan berprestasi tinggi melibatkan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk RM15 juta kepada pembangunan e-sukan (e-sports).
Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, peruntukan berkenaan juga dilihat sebagai satu cabaran buat KRM dalam pembangunan sukan ragbi berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Justeru, katanya, peruntukan berkenaan akan cuba diuruskan dengan sebaik mungkin dalam pelaksanaan pembangunan sukan ragbi.
"Sudah tentu begitu banyak cabaran yang kita akan hadapi. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini ada antara penaja utama kita yang terpaksa menarik diri buat seketika dan ini berikan tamparan yang begitu hebat kita laksanakan program pembangunan kita.
"Tetapi alhamdulillah, dengan peruntukan yang kita terima ini, kita akan cuba uruskan dan teruskan program-program pembangunan kita,” katanya.