KOTA BHARU - Meskipun tiada seorang daripada mereka mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian, namun empat sahabat di Kampung Salor di sini, nekad mengusahakan tanaman cili secara komersial.
Ahmad Jauzi Jaafar, 30, Muhammad Hafizuddin, 31, Mohd Nasrullah Mat Nahi, 29, dan Ahmad Khairuni Nafis, 31, memulakan tanaman sebanyak 1,800 pokok cili hijau sejak dua tahun lepas di atas sebidang tanah kepunyaan datuk Ahmad Jauzi di tepi jalan yang selama ini terbiar.
Ahmad Jauzi berkata dia, Ahmad Khairuni dan Muhammad berkelulusan dalam bidang elektronik manakala Mohd Nasrullah dalam bidang perniagaan, bertekad untuk memulakan projek tanaman selepas melihat betapa ruginya jika kawasan terbiar itu tidak diusahakan.
"Sebelum ini saya bekerja kilang di Johor namun pulang ke Kelantan kerana perlu menjaga keluarga yang sakit. Melihatkan tanah terbiar di tepi rumah...dari situ timbul idea untuk mengusahakannya dengan tanaman cili," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Salor di sini baru-baru ini.
Katanya, mereka berempat berkongsi modal sebanyak RM20,000 untuk membeli peralatan tanaman, benih dan penyediaan medium tanah di kawasan seluas 0.3 hektar itu.
Pada peringkat awal, mereka mula menanam 1,000 pokok cili namun tidak begitu menjadi disebabkan kurang pengetahuan sehingga banyak pokok mati dan tidak mengeluarkan hasil, lantas mereka mendapatkan nasihat daripada pihak yang berpengalaman.
"Kemudian, kami bertukar tanaman kepada timun batang selama semusim dan mula menampakkan hasil. Selepas melihat kejayaan itu, kami kembali mengusahakan tanaman cili kerana harga pasaran bagi cili hijau di Kelantan lebih mahal daripada timun dan kacang panjang,” katanya.
Ahmad Jauzi berkata dia dan rakan-rakannya menggunakan teknik fertigasi bagi tanaman cili mereka kerana menjimatkan masa dan mengehadkan penggunaan tanah selain menjimatkan penggunaan air berbanding teknik tanaman tradisional yang menanam terus di atas tanah.
Selain itu, hasil tanaman mereka juga selamat untuk dimakan kerana menggunakan baja dan vitamin yang dihasilkan sendiri secara organik tanpa penggunaan racun kimia.
"Hasil tanaman cili sudah lebih 10 kali dituai, setiap kali tuaian kami mampu menghasilkan sebanyak 200 kilogram cili hijau iaitu dua pertiga daripada keluasan tanaman. Dalam seminggu biasanya kami akan lakukan kutipan sebanyak tiga atau empat kali mengikut saiz cili,” katanya.
Ahmad Jauzi berkata, kesemua hasil tuaian itu dijual kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung dan harga pasaran cili hijau pada masa ini antara RM70 hingga RM80 bagi lima kilogram.
Sementara itu, Mohd Nasrullah berkata, melihat potensi projek itu yang dapat membuahkan hasil lumayan mereka kini menyasarkan untuk membuka lebih banyak kebun baharu bagi tanaman itu untuk memenuhi permintaan.
"Saya harap ada bantuan daripada pihak berwajib khususnya Jabatan Pertanian untuk kami membuka kebun baharu agar hasil pengeluaran berterusan bagi memenuhi permintaan,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini mereka berempat memulakan projek tanpa mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak walaupun ada membuat permohonan dan berharap selepas ini pihak kerajaan membuka mata kepada golongan muda yang ingin memulakan projek pertanian. - Bernama