BESUT -"Jangan jadi seperti aku...telah ditinggalkan isteri dan tidak lagi bertemu dengan anak hanya kerana terlalu ketagih, jadi 'hamba' dadah," kata seorang pemuda yang sedang menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sini.
Fais, 30, (bukan nama sebenar) berkata, dia mula terjebak dengan dadah pada usia 15 tahun dan ketika itu masih bersekolah, tanpa diketahui keluarga.
"Ia berpunca daripada pengaruh ‘tidak sihat’ kawan sewaktu remaja hingga menyebabkan saya sukar meninggalkan dadah jenis pil kuda. Mula-mula kawan bagi cuba kononnya untuk kurangkan tekanan dan tahan mengantuk.
"Rupa-rupanya sudah hampir 14 tahun terus jadi ketagih, sehinggalah saya ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, baru-baru ini.
Menurut Fais, bekas isterinya dapat mengesan ketagihan yang dihidapinya hanya beberapa bulan selepas mereka berkahwin pada 2018, dan perpisahan dengan isterinya tahun lepas membuatkan dia tersentap dan bertekad untuk berubah.
"Mungkin setelah segalanya berubah, saya akan ada peluang berjumpa dengan anak perempuan yang kini dah berusia dua tahun,” kata beliau yang pernah bekerja sebagai pengecat kereta.
Fais berkata, pada peringkat awal dia hanya mengambil sebiji pil kuda sehari, namun lama kelamaan memerlukan sehingga lima biji sehari dengan kos sekitar RM50 dan disebabkan itulah dia sering mengalami masalah kewangan.
Meskipun begitu, dia mengakui tidak pernah melakukan jenayah ataupun mencuri wang orang lain untuk membeli dadah, sebaliknya dia perlu bekerja keras tanpa mengira waktu.
"Ini merupakan kali pertama saya ditangkap dan di tempatkan di pusat pemulihan. Selepas ini saya tidak mahu lagi mengulangi kesilapan lalu seterusnya membina kehidupan baharu,” katanya yang bersyukur mendapat bimbingan daripada pihak Puspen.
Fais yang akan dibebaskan tidak lama lagi seterusnya memuji pelbagai usaha yang diambil kerajaan bagi menggalakkan majikan untuk mengambil bekas banduan sebagai pekerja, seperti tawaran potongan cukai buat mereka.
"Usaha ini akan menggalakkan lebih ramai majikan menggaji orang seperti saya bekerja, sekali gus membuatkan bekas penagih tidak merasa tersisih serta diterima dalam masyarakat,” katanya. - Bernama