KBS akan kemuka rayuan Piala Malaysia diteruskan

Iklan
Reezal Merican

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya saingan Piala Malaysia 2020 yang ditangguhkan sebelum ini dapat diteruskan bagi menamatkan baki tujuh perlawanan musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, rayuan itu hanya akan dikemukakan jika terdapat penurunan kes koronavirus (Covid-19) dalam negara.

Iklan
Iklan

"Secara peribadi selaku Menteri Belia dan Sukan, memang saya amat berharap supaya tujuh perlawanan ini dapat diteruskan di negeri-negeri yang dianggap sebagai (zon) hijau.

"Namun, kita akur dengan (arahan) MKN selain melihat faktor kesihatan dan keselamatan rakyat jauh lebih penting, di samping juga kesediaan dua negeri tersebut (Kelantan dan Pahang) untuk memberi kebenaran," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang meminta penjelasan terhadap tahap keupayaan semasa pasukan bola sepak tempatan dalam mendepani Covid-19 ketika ini.

Saingan Piala Malaysia masih berbaki tujuh perlawanan melibatkan empat aksi suku akhir yang dijadualkan pada 12 dan 13 November, diikuti dua perlawanan separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November. Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 November lepas.

Iklan

Perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2020 bakal menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuala Lumpur; Pulau Pinang berdepan UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak, sementara Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN memutuskan supaya saingan Piala Malaysia 2020 ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

Susulan itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam, mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat menimbang semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah menyediakan perancangan untuk meneruskan saingan di negeri berkecuali PKPB dan memohon menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Elok batalkan terus Piala Malaysia