AMPANG - Seorang bapa yang didakwa atas tuduhan merogol semalam, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan tuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap anak perempuannya berumur 16 tahun, sejak September tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pengusaha syarikat pembersihan kecil-kecilan didakwa atas enam tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan anak kandungnya, yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan.
Kejadian berlaku di rumah tertuduh di taman perumahan di Bukit Antarabangsa, di sini pada jam 8 pagi dan 3 petang, antara 19 hingga 29 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan itu, bapa kepada lima anak itu, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki berusia 42 tahun itu turut didakwa atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada hujung September 2019 hingga awal Mac 2020, jam 3 pagi dan 8.30 pagi, di lokasi sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa tidak mencadangkan ikat jamin kepada tertuduh, dengan mengambil kira kesalahan itu yang didakwa adalah serius.
"Semalam, tertuduh didakwa atas 41 pertuduhan merogol, melakukan seks di luar tabii dan amang seksual terhadap mangsa, ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah 50 pertuduhan.
"Jika permohonan ikat jamin dibenarkan, pihak pendakwaan bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa malah dia berisiko untuk melarikan diri," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi ikat jamin dengan alasan dia perlu menjaga keluarga dan kebajikan pekerja.
Menurutnya, dia juga perlu menjaga tiga kakak dan adik yang menghidap kanser, begitu juga isteri serta empat anaknya.
"Semua tuduhan terhadap saya adalah spekulasi semata-mata kerana saya belum didapati bersalah. Mangsa tidak lagi tinggal dengan saya kerana dia kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah JKM akan menghalang saya untuk menganggunya," katanya.
Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Norhazani kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Mahkamah menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.