Perak arah pantau semua cerun batu kapur berisiko

Iklan
Ahmad Faizal (lima dari kiri) bersama exco kerajaan negeri dan wakil agensi meninjau keadaan tanah runtuh yang mengorbankan dua nyawa di sebuah pusat peranginan di Tambun, Ipoh hari ini. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR PERAK

IPOH - Kerajaan Perak mengarahkan agensi berkaitan untuk melakukan kerja-kerja pemantauan ke atas semua cerun batu kapur berisiko di negeri ini susulan kejadian tanah runtuh di sebuah pusat peranginan semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah diarahkan untuk mempertingkatkan usaha pemantauan tersebut dengan serta-merta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua nyawa itu, pihak pengurusan pusat peranginan tersebut diarah untuk menutup sementara operasi sehingga arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

"Pagi tadi saya bersama dengan exco kerajaan negeri telah meninjau lokasi kejadian. Turut bersama dengan kami adalah jabatan-jabatan berkaitan termasuk JMG Perak dan pihak Majlis Bandaraya Ipoh.

Iklan

"Saya telah menerima taklimat daripada Jabatan Mineral dan Geosains dan juga pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak tentang langkah-langkah keselamatan yang telah diambil di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Mangsa terperangkap tanah runtuh ditemukan

Iklan

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Exco Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zolkafly Harun dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Ahmad Faizal berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pihak JMG Perak, kawasan runtuhan tersebut merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan cerun bukit batu kapur yang menghadap pusat peranginan berkenaan.

Jelasnya, pemantauan oleh pihak JMG mendapati masih terdapat enam blok batuan tergantung bersaiz antara 5m hingga 10m yang berisiko untuk jatuh.

Beliau berkata, JMG juga telah mengenal pasti aliran air yang masih aktif di sepanjang muka cerun yang keluar melalui rekahan, manakala sebahagian batu kapur di lokasi kejadian telah mengalami kadar luluhawa yang tinggi dan memudahkan berlaku jatuhan batuan.

"Menurut pihak JMG, bukit batu kapur di lokasi kejadian mempunyai tebing tegak dan lazimnya mempunyai rekahan dan satah perlapisan.

"Ini menyebabkan bukit batu kapur berpotensi untuk mengalami runtuhan atau jatuhan batuan dan ia adalah fenomena geologi yang tidak boleh diramal bila ia akan berlaku," katanya.

Terdahulu, kira-kira jam 9.30 pagi, Ahmad Faizal bersama Zolkafly dan Nolee Ashilin bersama wakil agensi berkaitan meninjau lokasi tanah runtuh tersebut.

Semalam, pasukan penyelamat menemukan dua mayat melibatkan seorang lelaki dan wanita dalam kejadian tanah runtuh di pusat peranginan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Identiti dua mangsa tanah runtuh di Tambun dikenal pasti