Jangan usik duit dalam akaun KWSP: CAP

Iklan

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya meneliti semula cadangan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan simpanan mereka.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya berpendirian pemegang akaun tidak seharusnya dibenarkan mengeluarkan dan membelanjakan simpanan mereka yang sepatutnya digunakan untuk persaraan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebaliknya kerajaan perlu menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan daripada meminta mereka menggunakan simpanan mereka untuk merangsang ekonomi.

"Ini kerana daripada 14.59 juta pencarum KWSP, 32 peratus pencarum KWSP (4.7 juta) mempunyai baki kira-kira RM1,000 dan 10 peratus (1.5 juta) mempunyai baki kira-kira RM5,000 dan ke bawah dalam akaun satu mereka.

Iklan

"Dalam kata lain, dianggarkan 6.2 juta (42 peratus) pencarum KWSP tidak mempunyai RM6,000 untuk dikeluarkan.

"Andai kata mereka kembali bekerja selepas pandemik, bersara pada usia 60 tahun dan meninggal pada usia 76 tahun (purata jangka hayat rakyat Malaysia), mereka akan tidak mempunyai wang bagi lebih sedekad," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mohideen berkata, CAP membantah idea pencarum mengeluarkan wang daripada akaun KWSP mengikut di bawah Seksyen 27 Akta KWSP 1991, pencarum dijamin kadar minimum 2.5 peratus setahun daripada simpanan mereka.

Dalam ucapan Belanjawan Negara 2021 Jumaat lalu, kerajaan akan membenarkan pengeluaran bulanan RM500 daripada akaun satu KWSP, berjumlah RM6,000 dalam tempoh 12 bulan.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pada 2019, KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.0 peratus bagi simpanan syariah.

Katanya, jika pencarum mengeluarkan simpanan akan menyebabkan mereka kehilangan dividen dan kesannya simpanan mereka akan semakin berkurangan apabila mereka bersara.

"Dengan meminta orang ramai meneruskan kelangsungan hidup menggunakan dana persaraan mereka sendiri samalah seperti seorang bapa meminta anak-anak mereka memecahkan tabung simpanan mereka sendiri jika mereka mahukan makanan seterusnya.

"Adalah tidak bertanggungjawab ia dilakukan terutamanya dalam tempoh sukar seperti ini. Kerajaan sepatutnya mencari cara lain untuk menyediakan bantuan kepada kumpulan masyarakat yang mudah terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Mohideen mencadangkan agar pemotongan gaji 50 peratus dan faedah istimewa bagi semua ahli Parlimen dilakukan.

Selain itu beliau juga menyarankan agar kerajaan meneliti dengan serius struktur gaji mereka yang merupakan eksekutif tertinggi di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Entiti Berkaitan Kerajaan (GLE) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

"Di samping gaji dan elaun bulanan mereka, terdapat faedah istimewa dan keistimewaan serta terma imbuhan lain yang dipersetujui.

"Menurut kajian FTSE Bursa Malaysia KLCI 30 syarikat dilaporkan pada Januari 2019, eksekutif teratas GLC memperoleh pendapatan purata RM5.5 juta setahun atau sekitar RM458,300 sebulan.

"Kami menggesa kerajaan supaya memotong gaji mereka sekurang-kurangnya 25 peratus kerana RM458,300 itu hampir kepada 2,300 kali ganda daripada mereka yang bergaji RM2,000," katanya.