SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditegur kerana masih membawa isu yang remeh seperti pemakaian baju Melayu biarpun ia telah ada dalam peraturan.
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, keseluruhan perjalanan sesi DUN Selangor berjalan dengan baik dan lancar.
"Saya memuji ADUN kerajaan yang telah membawa usul dan berbahas dengan baik sekali, di peringkat jawatankuasa mereka semakin mahir dan proaktif.
"Untuk pembangkang saya lihat ada perbahasan yang disertai tapi dilihat agak lembab, mereka hanya tumpu isu yang remeh temeh, kehadiran agak kurang memuaskan dan bagi saya ini perlu diperbaiki di masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Foyer Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata, sesi DUN Selangor ini berjaya disempurnakan dan diadakan selama lebih 10 hari.
"Kita berjaya melaksanakan sesi sidang kali ini, dalam 10 hari setengah dan sesi kali ini menyaksikan Belanjawan Negeri Selangor dapat dibentangkan serta dibahaskan serta diluluskan.
"DUN Selangor berjaya meluluskan tujuh penyata dan satu usul antaranya ialah Yayasan Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor, Penggantian Paip Dan 'Non-Revenue Water', Pindaan Kepada Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, Kesan Negatif Ekonomi Akibat Wabak Covid-19 Dan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Terhadap Prestasi Kutipan Hasil Cukai Dan Premium, Status Pengurusan Kelab Golf Seri Morib (KGSM) Oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)," katanya.
Beliau berkata, Dewan juga menggesa kerajaan negeri Selangor mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di negeri Selangor dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di negeri Selangor mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.