Status Piala Malaysia cetus persoalan

Iklan
Foto Bernama

DUNIA bola sepak tanah air riuh sejak beberapa hari lalu apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan saingan TM Piala Malaysia ditangguhkan seketika.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Isnin lalu benar-benar memberi kejutan kepada pemegang taruh terlibat.

Iklan
Iklan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pastinya tersentak dengan pengumuman itu tatkala kalendar 2020 hampir melabuhkan tirainya.

Namun, masih ada pihak yang menyambut baik keputusan kerajaan itu melihatkan situasi ketidaktentuan krisis pandemik Covid-19 di negara ketika ini. Kata mereka, soal keselamatan dan kesihatan tidak boleh dibuat ‘main-main’.

Iklan

Semalam, FAM dan MFL sekali lagi terpaksa akur dengan keputusan MKN yang masih tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung dalam masa terdekat biarpun rayuan telah dibuat.

Apa pun, apabila dinilai semula baik buruk, pro dan kontra polemik status penganjuran Piala Malaysia ketika ini, kejohanan bola sepak paling berprestij itu masih boleh berlangsung tanpa perlu dibatalkan.

Iklan

Syarat paling utama – MFL selaku badan pengelola Liga-M perlu mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP). Soal keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan terlibat harus menjadi keutamaan.

Khabarnya, MFL mempunyai pelan tersendiri di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis ketika ini.

Dua venue – Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan jadi pilihan andai MKN memberi ‘lampu hijau’ kepada MFL untuk menyambung semula aksi Piala Malaysia.

Sekali lagi diingatkan, MFL tidak harus berkompromi soal kehadiran penonton ke stadium. Ketepikan dulu permintaan daripada mana-mana pihak atau kelab penyokong dalam soal ini.

Jika MFL mampu memberi jaminan terhadap SOP yang ditetapkan MKN mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada yang mustahil saingan Piala Malaysia akan kembali berlangsung sebelum kalendar 2020 berakhir.