Usaha gigih usahawan sayur berbaloi

Iklan
Ramlee meninjau tanaman sayuran di ladang miliknya di Bukit Beruntung, Selangor.

HULU SELANGOR - Siapa sangka, pertaruhannya mencuba nasib untuk beralih kerjaya ternyata membuahkan hasil buat anak kelahiran peneroka Felda Mempaga, Bentong, Pahang ini apabila beliau kini mampu mengusahakan ladang tanaman sayuran seluas kira-kira 27 hektar di Bukit Beruntung, Selangor.

Menurut Ramlee Mohd Nasir, 39, beliau memulakan projek tanaman sayur di tapak ladang berkenaan sejak tahun 2018 selepas kerjayanya dalam bidang sistem audio tidak begitu menjamin kehidupannya dan semakin kurang mendapat permintaan.

Iklan
Iklan

Namun, katanya, enam bulan selepas memulakan tana-man tersebut, beliau masih gagal meraih sebarang hasil, malah mengalami kerugian kerana tidak mendapat bimbi-ngan daripada mana-mana pihak.

"Pada permulaan dahulu, saya ingatkan bidang tanaman adalah mudah dan boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Iklan

"Sangkaan saya ternyata meleset kerana bidang ini sebenarnya lebih sukar dan turut mempunyai cabaran yang tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Enggan mengalah, bapa kepada tujuh orang anak itu berkata, dia kemudiannya mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Daerah Hulu Selangor untuk memulakan semula tanaman di ladang berkenaan.

Iklan

Menurutnya, pegawai Jaba-tan Pertanian banyak memberi ilmu dan kursus kepadanya, malah turut turun padang untuk memantau sendiri keadaan tanaman yang diusahakan.

"Saya akui pada peringkat permulaan, memang saya langsung tidak tahu peranan dan bantuan yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Pertanian kerana tidak pernah berurusan dengan mereka sebelum ini.

"Bagaimanapun, selepas dua tahun menceburi bidang ini, saya rasa amat bersyukur kerana pegawai dan wakil Jabatan Pertanian amat prihatin serta tidak lokek berkongsi ilmu bagi membantu kami menguruskan tanaman dengan lebih baik.

"Hasil tanaman kami seperti sawi, kailan, kangkung bambu, pucuk keledek dan lain-lain semakin meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.

Ramlee berkata, ketika ini dia hanya mengusahakan tanaman di ladang berkenaan yang melibatkan kawasan se-luas 10 hektar bagi mengelak lambakan hasil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, sejak memulakan projek tanaman di ladang berkenaan, dia berdepan caba-ran untuk memasarkan sayur-sayuran kerana Hulu Selangor tidak mempunyai pusat pengumpulan seperti di kawasan-kawasan yang lain.

"Namun, Jabatan Pertanian sentiasa membantu kami, antaranya memastikan kami dapat mewujudkan rangkaian dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan hasil tanaman, sekali gus mengelak berlakunya lambakan,” katanya.

Kawasan ladang milik Ramlee yang berkeluasan 27 hektar.

Ditanya mengenai peruntukan Belanjawan 2021 khususnya dalam bidang pertanian, Ramlee berharap bantuan yang diumumkan kerajaan itu dapat disalurkan untuk program-program kebun komuniti di Malaysia.

Menurutnya, ia bagi memastikan peruntukan tersebut di-rasai banyak pihak, sekali gus sampai terus kepada golongan sasar.

"Ia juga dapat membantu anak muda atau orang ramai yang kehilangan pekerjaan untuk bersama-sama mengusahakan kebun komuniti di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Hulu Selangor, Hanifah Hasan yang turut turun padang meninjau ladang milik Ramlee berkata, pihaknya sememangnya amat mengalu-alukan penglibatan golongan muda untuk bersama-sama melibatkan diri dalam bidang tanaman sayur-sayuran singkat masa.

Menurutnya, kebanyakan orang muda pada masa kini hanya tertumpu kepada bidang tanaman seperti fertigasi dan rock melon.

"Sebenarnya, tanaman singkat masa boleh meraih pendapatan dengan lebih cepat. Dalam tempoh sebulan sahaja, kita sudah boleh mendapat hasilnya.

"Sebab itulah, Jabatan Pertanian amat menggalakkan anak muda khususnya mereka yang terjejas pendapatan untuk cuba beralih kepada bidang tanaman singkat masa,” kata beliau.

Hanifah berkata, Jabatan Pertanian menyediakan pelbagai kursus dan latihan untuk pihak yang berminat secara percuma bagi menggalakkan lagi penyertaan mereka dalam bidang agro tanaman.

"Malah, kita turut sediakan kursus secara atas talian ketika tempoh PKPB bagi membantu membimbing pihak-pihak yang terlibat,” katanya.