PASIR PUTEH - Seramai 40 peniaga Pasar Pasir Puteh yang sebelum ini terlibat dengan perobohan premis berkenaan menarik nafas lega apabila Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menyediakan tapak sementara di Mukim Wakaf Lichong di sini.
Yang Dipertua MDPP, Abd Pattah Hasbullah berkata, langkah tersebut secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana semula pendapatan yang terjejas sebelum ini.
"Lokasi baharu ini cukup strategik kerana kawasan tersebut belum ada kemudahan pasar basah dan kering.
"Perniagaan mungkin boleh bermula sebelum akhir tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di majlis ramah mesra bersama media di sini hari ini.
Menurutnya, MDPP yakin dan percaya, kewujudan pasar sementara itu mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi setempat.
Beliau yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh berkata, selain itu ia memudahkan masyarakat setempat khususnya di kawasan Gaal bagi mendapatkan barangan keperluan harian yang lebih segar.
Abd Pattah berkata, satu pertemuan dengan peniaga terbabit akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Abd Pattah berkata, pihaknya akan melakukan kerja penambahan ruang niaga di Pasar Besar Siti Hajar.
Katanya, kerja-kerja itu membabitkan kawasan seluas 1.4 hektar untuk memenuhi permintaan peniaga mendapatkan ruang niaga.
Sinar Harian 12 Oktober lalu melaporkan, Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh (Pembekal) yang mewakili 200 peniaga di sini meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan merobohkan pasar itu tanpa sebarang notis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembekal kecewa Pasar Besar Pasir Puteh diroboh