BAHAU - Setakat ini tiada salah laku dikesan melibatkan peniaga di sekitar Kuala Pilah dan Jempol berhubung penetapan harga maksimum borong dan runcit membabitkan 12 barangan terkawal sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bahau, Rohaimi Mohd Zawawi berkata, beliau berharap rekod tersebut dapat dikekalkan peniaga sehingga tamatnya tempoh kuat kuasa selama 10 hari.
"Hari ini (semalam) merupakan hari ketiga skim tersebut dijalankan yang mana 178 pemeriksaan telah dilakukan dan kita berharap peniaga dapat mengekalkan rekod ini sepertimana tahun lalu, tiada tindakan kes berdasarkan pemeriksaan di 381 premis perniagaan.
"Pemantauan dan penguatkuasaan rapi ini dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran terkawal selain penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara berlebihan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas selesai pemeriksaan di Pasar Awam Bahau, semalam.
Katanya, sepanjang skim tersebut, seramai 15 penguatkuasa dan tujuh daripada Pegawai Pemantauan Harga akan melaksanakan pemeriksaan termasuklah pada cuti Tahun Baharu Cina, Selasa dan Rabu depan.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati ada dalam kalangan peniaga menjual harga barangan terkawal dengan harga lebih rendah daripada ditetapkan.
"Bagaimana pun, peniaga diingatkan supaya mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 yang mewajibkan peniaga meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual atau mempamerkan senarai harga.
"Antara barangan harga terkawal yang dikuatkuasakan adalah ayam hidup, bawang putih (China) , udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram) dan telur ayam Gred A, B dan C," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh mengemukakan aduan berhubung perkara berkaitan melalui sembilan saluran yang disediakan KPDNHEP antaranya WhatsApp 0192794317, hadir ke pejabat KPDNHEP berhampiran ataupun memuat turun aplikasi Ez ADU KPDNHEP.
"Pengguna boleh memilih mana-mana saluran tersebut agar aduan yang dikemukakan dapat disampaikan dan disiasat secara terperinci sebelum tindakan lanjut diambil untuk kepentingan pengguna," katanya.