'Cincin tunang sudah dibeli namun anak pergi dulu'

Iklan
Abdul Ruzak dan isterinya, Ramlah menatap wajah anaknya, Mohammad Uzair (Mohammad Uzair yang merancang untuk bertunang namun maut dalam kemalangan di Kuantan pada Sabtu lalu.)

BENTONG - Hasrat seorang tukang gunting untuk bertunang tidak kesampaian apabila dia maut akibat dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol dalam kemalangan di Jalan Haji Ahmad, Kuantan pada Sabtu lalu.

Menurut bapanya, Abdul Ruzak Hussin, 56, anak kedua dari lapan beradik itu, Mohammad Uzair Nasaie Abdul Ruzak, 28, sudah membeli cincin pertunangan sebagai persediaan untuk majlis tersebut yang sepatutnya berlangsung pada bulan depan.

Iklan
Iklan

"Cincin tunang sudah dibeli namun anak 'pergi dulu' (meninggal dunia) sebelum sempat bertunang. Dia merancang bertunang pada Disember ini. Walaupun sedih dan terkilan, namun kami sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa dia," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang gunting maut motosikal dirempuh kereta

Iklan

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Mohammad Uzair Nasaie yang bekerja sebagai tukang gunting di Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu oleh seorang individu berada dalam pengaruh alkohol.

Menceritakan lebih lanjut Abdul Ruzak yang menetap di Taman Bukit Indah di sini, berkata, pada sebelah petang sebelum kejadian itu, Mohammad Uzair Nasaie yang mesra dipanggil Angah ada menelefon isterinya, Ramlah Zainal Abidin, 56.

Iklan

"Sepanjang perbualan, arwah asyik mengingatkan ibunya supaya menjaga diri dan menyatakan hasrat mahu bertunang. Kali terakhir kami berjumpa pada Oktober lalu ketika kenduri perkahwinan sepupu arwah di Melaka. Dia kelihatan teruja," katanya kepada wartawan Sinar Harian, hari ini.

Mohammad Uzair Nasaie maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu oleh seorang individu berada dalam pengaruh alkohol.

Tambahnya, arwah memang seorang anak yang suka membantu serta prihatin terhadap keluarga. Jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Marong, Bentong pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Abdul Ruzak berkata, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang berhubung kemalangan yang meragut nyawa arwah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, berdasarkan ujian darah yang diterima, pemandu kereta tersebut yang berumur 32 tahun serta merupakan pengurus syarikat wang berlesen berada dalam pengaruh alkohol ketika kemalangan itu.

Menurut beliau, pemandu berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 berhubung memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian di Mahkamah Kuantan, semalam.