KLUANG - Sistem e-hailing yang dibangun Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) bagi membantu pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini dalam mendepani persaingan Grab kini berada pada fasa akhir.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang berkata, beliau berharap sistem tersebut akan dapat disiapkan dan dilancarkan pada tahun ini dan selain e-hailing, sistem ini juga akan memaparkan jadual pengangkutan awam yang lain di negeri ini.
"Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini dan selepas ini, segala program termasuk tambang, jarak perjalanan dan maklumat pemandu akan dipaparkan di dalam sistem ini.
"Kita juga akan berikan pemandu teksi dan kereta sewa ini kursus pendek berkenaan penggunaan aplikasi ini agar lebih kompetitif kerana kebanyakan pemandu ini merupakan individu yang sudah berumur dan ada juga yang kurang arif penggunaan telefon pintar," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Keempat Gabungan Persatuan Pengusaha Tuanpunya dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Johor di Balai Raya Kampung Melayu, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Pengusaha Tuanpunya dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Johor, Md Isa Hashim dan Penghulu Kanan Daerah Kluang, Rosli Ithnin.
Menurutnya, selain sistem ini, kerajaan negeri juga akan mengurangkan tekanan yang dihadapi pemandu teksi dan kereta sewa ini seperti pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang sebelum ini dua kali setahun akan dikurangkan kepada sekali setahun.
"Saya dapat maklumat daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa beliau mahu perkhidmatan di antara teksi, kereta sewa dan e-hailing ini lebih kurang sama dan adil kerana e-hailing tidak perlu melakukan pemeriksaan di Puspakom dan tidak mempunyai insurans untuk penumpang.
"Jadi, perkara-perkara yang akan mengurangkan tekanan pemandu teksi dan kereta sewa ini sedang diperhalusi dan kita memang tidak boleh hapuskan sistem e-hailing ini kerana banyak manfaat untuk rakyat dan apa yang boleh kita lakukan adalah untuk menyeimbangkan sistem ini," katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini untuk berdaftar dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai satu sistem pangkalan data yang lengkap terhadap golongan ini.
Katanya, sehingga kini, baharu terdapat kira-kira 1,000 pemandu teksi dan kereta sewa yang berdaftar dan jumlah tersebut adalah separuh kerana beliau menganggarkan terdapat kira-kira 2,000 pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negeri ini.
"Kalau mereka berdaftar dengan PAJ, ini akan memudahkan kita (kerajaan negeri) hendak pantau termasuk aspek kebajikan dan khidmat nasihat dan sebelum ini banyak yang telah kita bantu melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti bantuan anak-anak pemandu teksi dan kereta sewa untuk memulakan persekolahan.
"Jadi, saya minta pemandu teksi dan kereta ini dapat melengkapkan borang pendaftaran di pejabat PAJ atau secara atas talian di laman web rasmi PAJ sebelum 15 Februari ini dan saya tidak mahu ada pemandu teksi dan kereta sewa ini yang tertinggal," katanya.