KEWUJUDAN 'komuniti' warga asing yang memonopoli kawasan pasar borong dan pasar harian Selayang, tidak kiralah sebagai pekerja dan pelanggan, menimbulkan isu kawalan harga bahan mentah khususnya sayur-sayuran sehingga menjejaskan peniaga tempatan.
Di Pasar Harian Selayang, rata-rata kedai menggunakan khidmat pembantu warga asing, sehinggakan kelibat warga tempatan sukar dikenal pasti.
Beberapa peniaga tempatan yang ditemui mengakui ia adalah suasana biasa di situ dan menjadi kelebihan buat warga asing yang datang sebagai pelanggan apabila mendapat tawaran harga istimewa berbanding warga tempatan.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 60, berkata, isu harga sayur yang dikawal pekerja warga asing mungkin tidak begitu ketara apabila melibatkan jualan runcit berbanding pembelian secara borong.
Katanya yang sudah lebih 30 tahun beroperasi di situ, 'permainan' harga oleh warga asing lebih ketara di Pasar Borong apabila pekerja-pekerja warga asing bertindak menaikkan harga jualan tanpa pemantauan majikan.
"Tauke tak ada, yang tinggal pekerja warga asing. Jadi mereka ini yang kawal harga sesuka hati. Bila ada sayur yang bekalan terhad, harga naik mungkin RM1, tapi mereka naikkan lebih dari itu. RM3 hingga RM5
"Majikan tidak tahu kerana serah bulat-bulat pada pekerja. Sebab itu warga asing boleh main harga. Yang teruk peniaga kecil dan pengguna juga terkesan. Jika orang mereka (warga asing) yang datang beli, mereka jual murah,"katanya kepada Sinar Harian.
Wong berkata, untuk jenis sayur yang bekalannya terhad, dia terpaksa memilih untuk tidak membeli bekalan bimbang berlaku kerugian.
"Hari ini kita beli mahal, esok dia boleh jual harga lain. Jadi kalau barang tak banyak, mereka jual mahal, saya tak beli dan tak jual kerana saya tahu permainan mereka ,"katanya.
Seorang lagi peniaga, Cheng, 52, turut mengakui berdepan isu sama disebabkan pekerja-pekerja warga asing yang telah mengawal operasi perniagaan di Pasar Borong, tanpa kawalan majikan.Peniaga sayur tempatan bakal gulung tikar. Itu yang dapat dirumuskan apabila terdapat aduan warga asing kini mula menguasai sektor tanaman hinggalah ke urusan jual beli sayur di pasar borong.
Hasil tinjauan Skuad Sinar Xtra mendapati ada pekerja warga asing 'main' harga menyebabkan peniaga tempatan sukar memperoleh keuntungan sewajarnya.
Lebih memburukkan keadaaan, pekebun tempatan terpaksa menjual hasil mereka dengan harga murah kerana bersaing dengan pemborong warga asing.
Ikuti laporan penuh Sinar X-tra di akhbar Sinar Harian hari ini.