KUALA LUMPUR - Tindakan pihak tertentu mempertikaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dilaksanakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beliau terkejut apabila terdapat pihak tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik yang mempertikaikan kredibiliti dan pengorbanan Dr Noor Hisham dalam membanteras pandemik Covid-19 di negara ini.
"Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus Covid-19 selama ini.
"Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan ketika wabak Covid-19 melanda sahaja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pihak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham akan mengadakan mesyuarat, berbincang dan bertukar idea setiap hari bagi mencari penyelesaian membanteras penularan wabak itu.
"Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain," katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Tiong King Sing ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mengeluarkan kenyataan 'DG (Ketua Pengarah) takut mati' selain mempersoal mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.
Kenyataan kontroversi bernada emosi itu menyebabkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang untuk tidak membenarkan King Sing 'menghentam' Ketua Pengarah Kesihatan dan mahu kenyataan itu ditarik balik. - Bernama