PUCHONG - [DIKEMASKINI] Sebanyak 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai hangus dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Norizham Mohd Nudin berkata, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
"Kami terima panggilan pada jam 7.58 pagi sebelum 40 pegawai dan anggota Balai Bomba Puchong, Serdang, Petaling Jaya dan Kota Anggerik bergegas ke lokasi. Api yang dapat dikawal kira-kira jam 9 pagi sekali gus mengelak dari merebak ke lot gerai makan terletak bersebelahan.
"Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah dan pemeriksaan dapati 200 kedai hangus seratus peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan forensik bomba dan tiada unsur jenayah dapat dikaitkan hinggalah punca kejadian diketahui.
"Kejadian ini pertama kali berlaku di Uptown Puchong Permai sejak ia mula dibina pada tahun 2011 dan ketika kebakaran semua kedai tidak beroperasi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Uptown Puchong Permai Abdul Rahim Shah berkata, kerugian keseluruhan peniaga dianggarkan hampir RM1 juta.
"Saya yang mempunyai satu lot kedai di sini mengalami kerugian hampir RM10,000. Barang dalam kedai saya sendiri termasuk peti ais tak dapat diselamatkan,” katanya.