PENAMPANG - Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM143,200 selepas menjadi mangsa Love Scam yang dikenalinya melalui laman Facebook.
Mangsa berusia 50 tahun yang juga seorang peniaga diperdaya oleh pemilik akaun Facebook bernama 'Eric Chan' sejak beberapa bulan lalu sehingga membuat sebanyak lima transaksi kewangan kepada akaun yang berbeza.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi tadi.
"Mangsa diperdaya dengan tipu helah suspek yang menyatakan duit simpanan yang berjumlah RM16.6 juta miliknya telah dibekukan.
"Suspek kemudian meminta pertolongan kepada mangsa supaya melakukan transaksi kewangan dan seterusnya berjanji akan memberikan 'habuan' kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Polis Daerah Penampang hari ini.
Susulan laporan itu, Mohd Haris berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Tambah beliau lagi, statistik kes penipuan melibatkan Love Scam semakin meningkat di Penampang sejak kebelakangan ini.
"Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.
"Berdasarkan trend jenayah ini, modus operandi mereka menerusi perkenalan di alam maya (media sosial) dengan memberikan kata-kata manis untuk memperoleh kepercayaan mangsa seterusnya meminta sejumlah wang untuk pelbagai tujuan," katanya.