IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa wujud salah guna kuasa dalam penjualan 60 peratus saham Ladang Lekir Sdn Bhd (LLSB) dalam PT Pinang Witmas Sejati (PWS) kepada Taiko Plantations Pte Ltd bernilai RM341.5 juta.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, perbadanan itu menjelaskan dakwaan penjualan saham itu dibuat pada harga rendah juga tidak berasas.
Menurutnya, kenyataan bahawa ladang tersebut dikatakan bernilai hampir RM1 bilion adalah tidak benar dan dilihat mempunyai niat jahat untuk tujuan yang tidak betul.
"Pada awal tahun 2020, satu penilaian telah dilaksanakan oleh sebuah firma penilaian bebas dan terkenal melaporkan bahawa 60 peratus saham yang dahulunya dipegang oleh LLSB bernilai lebih kurang RM315 juta.
"Oleh itu, saham 60 peratus dalam PWS yang dijual kepada Taiko Plantations Pte Ltd telah mengambil kira beberapa faktor termasuk nilai pasaran ladang tersebut yang terkini," kata kenyataan tersebut.
PPPNP berkata, usul penjualan saham dalam PWS telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perak pada tahun 2014 sebelum keputusan penjualan saham itu dibuat.
"Pembentangan itu antara lainnya mengesyorkan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk menasihati PPPNP dalam perkara-perkara relevan yang berkaitan dengan transaksi tersebut.
"PPPNP telah mengikuti cadangan MMK dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan dengan tujuan untuk menjadi penasihat kepada PPPNP dalam hal berkaitan penjualan saham di dalam PWS," katanya.
Sementara itu, PPPNP turut menjelaskan, pada bulan Mei 2016, usul untuk menjual saham-saham di dalam PWS turut dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak dengan mengemukakan alasan penjualan saham tersebut.
Menurutnya, alasan penjualan yang diberikan antaranya termasuk kos-kos penanaman semula yang melibatkan ladang kelapa sawit PWS, tempoh pajakan ladang tersebut dan juga polisi-polisi nasional yang diperkenalkan oleh kerajaan tempatan di Indonesia.
"Sehubungan itu, pihak PPPNP akan mengambil langkah-langkah yang wajar demi menjaga kepentingan dan integritinya terhadap pihak-pihak yang membuat kenyataan-kenyataan dengan niat jahat untuk tujuan yang tidak betul," katanya.
Pada 19 Oktober lalu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan ladang milik anak syarikat kerajaan negeri di Palembang, Indonesia yang didakwa mempunyai unsur salah guna kuasa berikutan dijual pada harga rendah.
Laporan tersebut dibuat sendiri Pengerusi Putra Perak, Datuk Hamidah Osman yang mendakwa 60 peratus saham Ladang PT PWS milik syarikat LLSB iaitu anak syarikat PPPNP dibeli oleh Syarikat Taiko Plantation dengan harga di bawah pasaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Putra gesa SPRM siasat jualan ladang harga rendah