KUALA LUMPUR - Sejumlah 1,199 atau 94 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sekitar Lembah Klang telah menerima bekalan air sepenuhnya setakat 9 malam ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan dengan perkembangan itu, hanya 80 kawasan lagi masih terjejas dan dalam proses pemulihan untuk mendapatkan bekalan air sepenuhnya.
Iklan
Iklan
"Pengguna yang telah menerima bekalan air dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan pelan pemulihan bekalan air berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.
Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.
Pada Selasa, LRA Rantau Panjang serta SSP 1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang berikutan pencemaran sumber air mentah.
Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. - Bernama