Deepavali: KPDNHEP lakukan 759 pemeriksaan

Iklan
Saifullizan (dua dari kanan) bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak mengadakan lawatan di Pasar Besar Ipoh hari ini sempena SHMMP Deepavali 2020 hari ini.

IPOH - Sebanyak 759 pemeriksaan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh Perak di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 sejak 9 November lalu.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan tersebut mendapati peniaga mematuhi undang-undang serta tiada aduan diterima daripada orang awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak KPDNHEP akan sentiasa berada di lapangan dalam memastikan peniaga terus mematuhi peraturan yang ditetapkan walaupun tiada sebarang aduan diterima.

"SHMMP Deepavali 2020 ini dikuatkuasakan bagi melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dengan cara menetapkan harga maksimum ke atas barang-barang keperluan musim perayaan dan membolehkan pengguna mudah memperoleh keperluan musim perayaan pada harga yang berpatutan.

Iklan

"Dalam memastikan bekalan di pasaran adalah mencukupi untuk menampung permintaan terhadap barangan semasa perayaan ini, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak telah mengatur pemeriksaan dan pemantauan secara harian ke pasar borong, pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri ini sejak awal November sehingga tarikh akhir kuat kuasa SHMMP iaitu pada 17 November 2020," katanya kepada dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifullizan berkata, satu lawatan pemeriksaan dan pemantauan ke Pasar Besar Ipoh, di sini bagi meninjau bekalan dan tahap pematuhan peniaga terhadap SHMMP berkenaan.

Iklan

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang kawalan mencukupi dan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, pengguna disarankan supaya memanfaatkan aplikasi mudah alih 'Price Catcher' ketika berbelanja untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.

"Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis yang berlainan di sesuatu kawasan dan seterusnya, pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan.

"Sekiranya pengguna mempunyai pertanyaan atau aduan mengenai isu bekalan; harga; kualiti barangan dan perkhidmatan, mereka boleh menghubungi KPDNHEP melalui saluran yang disediakan," katanya.