SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan kadar penembusan capaian internet dalam kalangan keluarga B40 pada masa ini memberangsangkan dan dapat membantu pembelajaran di rumah.
Menurut suruhanjaya itu, berdasarkan tinjauan Pengguna Internet Tahun 2020 yang dijalankan oleh SKMM menunjukkan 95.4 peratus individu berpendapatan RM1,000 hingga RM3,000 mempunyai langganan internet, sama ada sambungan talian tetap atau mudah alih.
"Kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 pula ialah 82.2 peratus.
"Maklumat berkenaan menunjukkan penembusan capaian internet dalam kalangan keluarga B40 pada masa ini berada pada tahap memberangsangkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, seorang ahli politik mendakwa langganan talian internet dalam kalangan isi rumah B40 adalah rendah dan tidak kondusif untuk pembelajaran di rumah.
Sehubungan itu, pihak SKMM telah terpanggil untuk menjelaskan tanggapan tersebut berdasarkan fakta dan hasil tinjauan yang telah dibuat.
Jelas suruhanjaya tersebut, cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan untuk membantu anak mereka menyelesaikan kerja rumah yang disediakan oleh guru.
"Sebagai langkah untuk mengatasi cabaran tersebut, semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar sebanyak RM180 kepada golongan B40," katanya.
Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 seorang atau RM15 sebulan tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan.
"Syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan meneruskan program 1 gigabait (gb) data percuma setiap hari sehingga akhir tahun 2020 untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran," ujarnya.
Bagi masalah liputan di bandar, pinggir bandar dan pedalaman pula, SKMM sedang giat melaksanakan projek-projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dijangka selesai pada tahun 2023.
"Dengan terlaksananya Jendela, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9 peratus kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8 peratus sekarang.
"Ia juga bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30 megabit sesaat (Mbps) daripada 25Mbps sebelum ini," ujarnya.
Katanya, status sasaran-sasaran Jendela akan diumumkan setiap suku dan laporan suku yang pertama untuk inisiatif tersebut akan dibentangkan pada pertengahan Disember 2020.
"Kemudahan mengakses internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta juga di luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah, turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti yang sedang diuruskan oleh SKMM di seluruh negara," jelas kenyataan itu.
SKMM berkata, data-data yang dikemukakan itu adalah terkini dan merupakan maklumat tambahan kepada rumusan tinjauan yang dikumpul oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2016 dan yang terbaharu pada 2019.
"Tinjauan ini dilakukan secara berkala. Statistik langganan internet dan pemilikan peranti dilaporkan secara tahunan oleh SKMM dan agensi-agensi lain yang berkenaan," jelasnya.