[VIDEO] Bekas Presiden UMANY tak mengaku ingkar perintah penjawat awam

Iklan
Yan Ke dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam awal bulan ini.

PETALING JAYA - Bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam, awal bulan ini.

Wong Yan Ke yang hadir dengan memakai kemeja putih, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Norshahirah Abdul Salim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pemuda berusia 24 tahun itu didakwa ingkar perintah yang dibuat oleh seorang penjawat awam, iaitu Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman di Video Live Facebook, semasa polis tersebut membuat serbuan.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini pada jam 3.30 petang, 7 November lalu.

Iklan

Graduan Universiti Malaya dalam jurusan kejuruteraan awam itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000.

Iklan

"Jumlah itu adalah wajar kerana mengambil kira kepentingan awam dan kes berkenaan tular di laman sosial Facebook,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Rajsurian Pillai berkata, kadar ikat jamin yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi.

"Anak guam saya baru sahaja tamat pengajian tahun lalu kini bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dengan gaji sebanyak RM2,600 sebulan.

"Saya harap anak guam saya diberi ikat jamin yang rendah kerana mengikut hukuman yang dipertuduhkan adalah rendah malah anak guam saya memberi kerjasama sepanjang dia ditahan reman selama tiga hari bermula Sabtu lalu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norshahirah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Februari tahun depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 1 November lalu, menerusi kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat Universi Malaya (UM) berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung satu hantaran bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara’ yang dimuat naik UMANY, menerusi laman Facebook.

Katanya, universiti itu memandang serius hantaran badan pelajar berdaftar berkenaan.

Semalam, Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat Malaysia atas kenyataan bertajuk 'YDPA Should Not Interfere In National Affairs' (Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara).

UMANY dalam satu hantaran di Facebook, turut memaklumkan mereka menarik balik kenyataan tersebut yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

UMANY mohon maaf kepada Agong

UMANY: Lelaki rakam operasi polis dituduh esok