SEREMBAN - Seorang pekerja syarikat kawalan keselamatan berdepan detik cemas apabila usahanya memadam kebakaran di pejabatnya di Seremban 2 gagal, pagi tadi.
Kejadian kebakaran disedari pekerja lelaki berusia 21 tahun itu sekitar jam 8 pagi selepas terhidu asap dan mendapati bahagian belakang pejabatnya terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.56 pagi.
"Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 digerakkan ke lokasi selain dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.
"Kejadian melibatkan sebuah pejabat kawalan keselamatan yang berada di tingkat bawah bangunan yang terbakar sebanyak 25 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 9.21 pagi manakala punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pekerja berkenaan pada awalnya cuba memadamkan kebakaran namun tidak berjaya, akhirnya telah menghubungi talian kecemasan MERS999 untuk bantuan pihak bomba.
"Kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa memandangkan operasi syarikat itu dijangka bermula pada awal Disember ini.
"Ketika ini mereka masih dalam proses pemindahan barang serta ubah suai dari bangunan lama ke tempat baharu (lokasi kejadian)," katanya.