Sembunyi rokok seludup dalam sarang burung walit

Iklan
Nor Azizan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih bernilai RM3 juta yang berjaya dirampas di dalam sebuah bangunan sarang burung walit di Kampung Dalam, Tumpat semalam.

TUMPAT - Taktik licik penyeludup menyembunyikan 19,230 karton rokok putih bernilai RM3 juta di dalam sebuah bangunan sarang burung walit terbiar gagal apabila berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu semalam.

Rokok putih yang berasal dari China itu dirampas oleh pasukan berkenaan di Kampung Dalam, di sini pada jam 10 pagi sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan tersebut.

Iklan
Iklan

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, siasatan awal mendapati rokok-rokok itu diseludup dari negara jiran menggunakan laluan tikus melalui Sungai Golok.

"Tindakan itu bagi mengelakkan mereka (penyeludup) daripada dicekup anggota penguat kuasa.

Iklan

"Ini merupakan rampasan rokok terbesar yang berjaya dilakukan oleh PGA sepanjang tempoh tiga tahun," katanya kepada pemberita di Markas PGA Kuala Jambu, di sini hari ini.

Menurutnya, PGA tidak menolak kemungkinan rokok-rokok itu akan dijual kepada warga asing yang ada di negara ini.

Iklan

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan individu sebenar di sebalik aktiviti ini.

Menceritakan semula perihal operasi itu, Nor Azizan berkata, sejurus tiba di lokasi pihaknya terus melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu hadapan yang terdapat di bangunan itu tidak berkunci.

"Bila anggota PGA masuk ke dalam bangunan berkenaan, kami dapati ada satu pintu yang telah dikunci menggunakan mangga.

"Kami terpaksa membuka kunci itu menggunakan pemotong besi bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan ke dalam bangunan berkenaan," katanya.

Nor Azizan berkata, setelah pintu dibuka pihaknya kemudian telah menemui bungkusan plastik yang berwarna hitam, biru dan kuning mengandungi rokok seludup.