Amanah tak sokong belanjawan jika tidak ubah: Mat Sabu

Iklan
Mohamad (dua dari kanan) menyerahkan bendera Amanah kepada wakil-wakil parti yang terlibat sebagai gimik perasmian jentera pilihan raya sempena Konvensyen Amanah Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) membayangkan tidak akan menyokong Belanjawan 2021 jika pihak kerajaan tidak meminda beberapa perkara sebagaimana yang dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Amanah Negara, Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengulangi pendirian tersebut memandangkan apa yang dinyatakan Anwar adalah berdasarkan kepada keperluan rakyat masa kini.

Iklan
Iklan

"Ketua pembangkang sudah cakap, kalau nak sokong mesti pinda beberapa perkara. Semua sudah bercakap, UMNO pun sudah bercakap. Kami (Amanah) bersama apa sahaja keputusan yang diputuskan Pakatan Harapan.

"Contohnya moratorium, eloklah kalau diteruskan sehingga tahun depan. Ramai rakyat yang merana, peniaga kecil dan sebagainya.

Iklan

"Kemudiannya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kalau setakat RM500, masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan. Sama juga seperti isu Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), tarik balik sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad merasmikan jentera pilihan raya sempena Konvensyen Amanah Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini hari ini.

Iklan

Ketika ditanya mengenai jentera pilihan raya, Mohamad berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil setiap negeri bagi membincangkan keperluan untuk persediaan pilihan raya akan datang.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucapan perasmian tersebut, Mohamad juga memberitahu, walau sehebat mana pun jentera pilihan raya sesebuah parti, pemimpin tetap perlu turun padang untuk bertemu rakyat terutamanya di kawasan kampung.

"Teknologi hebat macam mana sekalipun pemimpin tetap kena turun padang bertemu rakyat. Sebab pada rakyat mereka tetap mahu tengok pemimpin. Berlainan dengan pihak lawan, mereka ada siaran televisyen dan radio.

"Contohi arwah Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, saya sendiri tidak mampu buat seperti mana dia buat pada rakyat. Balik dari pejabat, sudah ada orang tunggu di rumah untuk tahnik bayi dan sebagainya.

"Pergi mana-mana pun kalau jumpa majlis dia akan berhenti beri sumbangan dan sebagainya. Inilah sentuhan yang rakyat perlukan.

"Bukan saja beliau, tapi arwah Datuk Fadzil Mohd Noor pun sama. Mereka mempunyai keistimewaan sendiri bila bercakap bab menyantuni rakyat. Inilah yang rakyat mahukan dan kita perlu jadikan mereka sebagai contoh," katanya.