GPMS sifatkan tindakan UMANY minta maaf sebagai perbuatan bacul

Iklan
Mohd Alif Anas Md Noor

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan tindakan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) memohon maaf atas kenyataan kontroversinya bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara sebagai perbuatan bacul.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, tindakan itu seolah-olah seperti 'baling batu sembunyi tangan' kerana sudah beberapa kali UMANY bertindak melampaui batas dan biadab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sudah sampai masanya tindakan seperti itu dihentikan melalui amalan undang-undang.

"Pada masa sama UMANY dilihat cuba mengalihkan pandangan masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia.

Iklan

"Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, UMANY memohon maaf kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat Malaysia dan menarik balik kenyataan yang dikeluarkan mereka tentang perkara itu pada 30 Oktober lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Alif Anas berkata, pihaknya bertegas tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat semua cawangan dan ahli GPMS bersama-sama rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara tentang perkara itu.

"Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan. Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak polis?

"GPMS sekali lagi bertegas bahawa UMANY perlu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Menurutnya, jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti itu.

Tambahnya, GPMS juga telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 2 November yang lalu supaya pihak Universiti Malaya mengambil tindakan mengharamkan UMANY sebagai sebuah persatuan mahasiswa di universiti tersebut.

Katanya, GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini.

"GPMS sebagai sebuah gerakan belia dan pendidikan tertua di negara ini tidak pernah gentar dan takut dengan mana-mana organisasi yang cuba mengkucar-kacirkan keamanan negara.

"GPMS dan rakan-rakan NGO tidak akan duduk diam jika kes UMANY ini tidak dihukum sewarasnya. GPMS juga akan terus menjadi sebuah gabungan pelajar Melayu yang bermaruah dan mempertahankan suara pelajar-pelajar Melayu dalam pelbagai isu termasuk isu nasional," katanya.