Pertingkat kerjasama ICT ASEAN, Korea Selatan: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa ASEAN terus meningkatkan kerjasama dalam sektor teknologi informasi dan maklumat (ICT) dengan Korea Selatan bagi merancakkan perkembangan ekonomi digital di rantau ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama antara Korea Selatan dan ASEAN dalam memperkasa ekonomi digital dapat menyediakan pentas buat masyarakat celik teknologi, selain membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) meningkatkan produktiviti dan hasil ekonomi di sebalik kelembapan kewangan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Oleh kerana Korea Selatan dianggap sebagai peneraju barangan ICT dan berjaya memanfaatkan ekonomi digital untuk memacu produktiviti, ASEAN amat berminat untuk mengguna pakai sesetengah amalan terbaik Korea Selatan," katanya semasa menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan, pada Khamis.

Muhyiddin berkata, dengan populasi lebih 650 juta dan statistik keseluruhan keluaran dalam negara kasar lebih AS$2.6 trilion serta akaun MSME adalah lebih daripada 60 peratus pekerjaan di rantau ini, Malaysia percaya ASEAN menjadi tarikan kepada syarikat yang mahu memula serta mengembangkan perniagaan mereka dalam menguji inovasi masing-masing, terutama sewaktu kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Iklan

Beliau juga berharap dengan pemeteraian dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh menghantar mesej kukuh mengenai kepentingan mengukuhkan intergrasi ekonomi serantau dan menyuburkan lagi pertumbuhan ekonomi ASEAN dan Korea Selatan.

Katanya, penubuhan Dana Kerjasama Maritim Korea Selatan-Asia Tenggara dengan sumbangan awal sebanyak AS$1juta oleh Seoul, menyerlahkan usaha dalam mengukuhkan kesalinghubungan ASEAN serta merancakkan kawasan pertumbuhan ekonomi BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina).

Iklan

Menyentuh mengenai Covid-19, Perdana Menteri berkata, wabak itu membolehkan ASEAN mengukuhkan kerjasamanya dengan Korea Selatan, termasuk menerusi langkah perkongsian maklumat dan amalan baik bagi meningkatkan tahap kecekapan mengurus pandemik itu serta merancang pelan pemulihan.

Katanya, Malaysia menghargai bantuan Korea Selatan dan sokongan dihulurkannya terhadap inisiatif kesihatan umum ASEAN menerusi sumbangan US$1 juta kepada Tabung Tindak Balas Covid-19 ASEAN, bantuan Korea Selatan kepada projek meningkatkan kemampuan pengesanan Covid-19 ASEAN yang bernilai AS$5 juta serta bantuan alat ujian serta peralatan penjagaan diri kepada negara memerlukan.

"Malaysia sendiri memperoleh manfaat daripada bantuan Korea Selatan dan dapat meningkatkan keupayaan pengesanan wabak Covid-19 itu daripada 16,500 kepada 22,000 ujian setiap hari," katanya.

Mengulas mengenai kegusaran Malaysia berhubung keadaan di Semenanjung Korea, Muhyiddin berkata, Malaysia berharap rundingan antara pihak yang berkenaan dapat diteruskan dan mampu merintis jalan ke arah usaha perdamaian serta komitmen mengekalkan keamanan serta keselamatan serantau selain mewujudkan persekitaran aman. - Bernama