Panglima Perang KKM bangkit pertahankan Dr Noor Hisham

Iklan
Dr Rohaizat Yon -Foto Bernama

SHAH ALAM - Panglima Perang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon tampil mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilemparkan dengan tuduhan sebagai 'takut mati' oleh seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kelmarin.

Rohaizat selaku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan orang yang sentiasa berada di samping Noor Hisham mendedahkan, kakitangan KKM termasuk Noor Hisham dan beliau sendiri tidak pernah ada istilah cuti rehat sepanjang berperang dengan Covid-19 lebih 10 bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini Ketua Pengarah (Noor Hisham) juga dikuarantin kerana merupakan kontak rapat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Namun Dr Noor Hisham tetap bekerja dari rumah serta menghadiri mesyuarat dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara dalam talian melalui panggilan video,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Rabu lalu Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyebut Dr Noor Hisham sebagai takut mati apabila tidak turun ke Sabah dan mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan itu membiarkan hanya frontliners berperang di sana.

Rohaizat berkata, dalam peperangan perlu ada persediaan di bahagian belakang juga sebagai barisan 'backliners' yang menyediakan perancangan khusus dalam usaha mengekang wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Iklan
Dr Noor Hisham (kanan) bersama Dr Rohaizat Yon (tengah) dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Norhayati Rusli (kiri). - Foto Bernama

"Kalau dalam peperangan mesti kita ‘backup’ ada sokongan di belakang dan memberi petunjuk kepada barisan hadapan (frontliners) untuk serang musuh dan begitulah juga dalam situasi Covid-19 ini apabila musuh yang kita lawan ini (wabak Covid-19) tidak nampak kita perlu lebih berhati-hati dan bersedia.

"Kita perlu ada strategi dan data yang lengkap untuk serang musuh tidak nampak ini jika mahu menang dalam peperangan dan bukan sekadar turun berperang tanpa persediaan.

"Jadi tidak timbul isu jika Dr Noor Hisham tidak turun ke Sabah kerana dia ada ke sana pada Ogos lalu dan mengikut jadual berkala yang dibuat secara giliran melalui KKM sendiri,” katanya semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat panas dengan isu 'DG takut mati'

Kelmarin Noor Hisham turut menjawab kontroversi tersebut dengan menyatakan tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Noor Hisham sebelum ini digelar manusia paling popular di Malaysia sejak Mac lalu selepas muncul setiap hari di kaca TV untuk menyampaikan perkembangan terkini mengenai wabak Covid-19 di negara ini.

Kesungguhan Noor Hisham sebelum ini turut mendapat pengiktirafan dunia apabila beliau menerima Anugerah BrandLaureate - Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020 pada Julai lalu.