KOTA BHARU - Tidak tahu ke mana arah hendak dituju, seorang lelaki berusia 50-an menjadikan wakaf di sekitar Jalan Tok Hakim di sini sebagai tempat tidurnya.
Mahu dikenali sebagai Man, dia mendakwa datang dari Kuala Lumpur atas urusan peribadi dan tidak mampu banyak bergerak kerana kaki kirinya patah akibat kemalangan jalan raya.
Menurut Man, berikutan terdapat sedikit masalah, dia tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur ditambah pula dengan duit yang tidak mencukupi, dia terpaksa merempat sementara di Kota Bharu.
"Payahlah sikit sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sana. Saya pula tidak ada saudara mara di sini, makan pun harapkan ihsan orang. Nasib baiklah orang di sini berhati mulia suka membantu. Tidaklah saya berlapar.
"Kadang-kadang saya terpaksa minta duit dengan orang lalu lalang, tak banyak pun sekitar RM5 sahaja, cukup untuk saya makan dan minum sehari,” katanya.
Dia yang bersendirian dan bertongkat itu ditemui ketika pengagihan bungkusan makanan kepada gelandangan digerakkan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar bandar.
Semalam, Hotel bajet Ummi Sue bergabung bersama Cempaka Merah Asnaf Society, I kasih, Third Force, Barakah Grup dan Gie Empire mengedarkan 500 bungkus makanan kepada gelandangan, keluarga asnaf terpilih termasuk pekerja pembersihan di sekitar bandar.
Penganjur, Mariah Abdullah berkata, makanan berkenaan diedarkan oleh 15 sukarelawan di sekitar Taman Hijau, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, sekitar Masjid Muhammadi, stesen bas Kota Bharu dan Pasar Siti Khadijah.
"Kita difahamkan sudah ada pihak yang sediakan makanan kepada mereka secara berkala tetapi ini salah satu kerja sosial bersama untuk membantu golongan memerlukan dan insya-ALLAH akan dibuat secara berterusan,” katanya.
Sementara itu wakil daripada Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, pihaknya memberikan sumbangan nasi ayam pedas, paprik, mi dan bihun goreng bersama buah-buahan secara berkala memandangkan tidak ramai gelandangan di bandar ini.