SEREMBAN - Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dihempap pokok kelapa setinggi 10 meter malam tadi di Kampung Nyatoh, Kuala Sawah Rantau di sini.
Sinar Harian difahamkan, hujan lebat serta ribut berlaku ketika keluarga berkenaan sedang makan di ruang dapur sebelum pokok kelapa di belakang rumah itu tiba-tiba tumbang.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 malam dan tiba 11 minit kemudian.
"Seramai enam anggota bomba digerakkan ke lokasi. Mereka memotong dan menebang pokok yang menimpa bahagian dapur dan bilik tidur dengan menggunakan peralatan khas.
"Kejadian menyebabkan kemusnahan di ruang bilik tidur selain sedikit kerosakan di bahagian dapur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimana katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni bertindak cepat keluar dari rumah itu dan operasi tamat jam 8.16 malam.