Pasangan suami isteri bersih kelas anak setiap hari

Iklan
Kunjungan warga Pendidikan ke rumah Hussin menyampaikan sumbangan.

PENDANG - Kelibat pasangan suami isteri setiap pagi menyapu sampah dan membersihkan kelas anak mereka menarik perhatian warga Sekolah Kebangsaan Haji Abdul Rahman, Tokai.

Guru Besar sekolah berkenaan, Badrul Shahar Abdul Wahab berkata, pasangan Hussin Yaakob, 70 dan Azizah Ahmad, 42, dikaguminya apabila menjadikan aktiviti berkenaan sebagai rutin setiap pagi pada hari persekolahan selepas menghantar anak mereka Nor Izzati yang berada di darjah 3 sekolah itu.

Iklan
Iklan

"Sebelum bermulanya waktu pembelajaran, suami isteri ini akan menyapu sampah, membersihkan cermin kelas dan memastikan kelas tersebut bersih dan teratur.

"Jarang saya lihat ada waris yang sanggup membantu membersihkan kelas anak mereka yang belajar di sini. Sikap sebegini sangat mulia, terpuji dan menggambarkan keprihatinan ibu bapa terhadap sekolah dan anak mereka,” katanya.

Iklan

Hussin yang tinggal di sebuah rumah yang agak usang di kampung berhampiran sekolah tersebut bekerja sebagai buruh kampung dan mengambil upah secara sambilan dengan pendapatan sebanyak RM300 sebulan.

"Kemiskinan dan kedaifan hidupnya tidak menjadi penghalang untuk beliau menghantar anaknya ke sekolah. Atas dasar itu dalam program Ziarah Cakna, Pegawai Pendidikan Daerah Pendang, Wan Khalim Ahmad dan saya berkunjung ke rumah Hussin bagi menyampaikan sedikit sumbangan.

Iklan

"Sumbangan yang diberikan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban Hussin sekeluarga,” katanya selepas ziarah keluarga itu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Ismail Othman dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Abdul Rahim Mat.