PASIR GUDANG - S Chandram, 61, dan anak saudaranya, G Sri Durga Devi, 18, berstatus orang kurang upaya (OKU) yang dijaganya sejak lima tahun lalu ceria menyambut Deepavali walaupun hidup dalam serba kekurangan.
Sambutan Deepavali warga emas dan OKU itu yang menyewa di Flat Taman Air Biru, di sini tetap meriah dengan membuat persiapan seadanya kerana Chandram tidak lagi bekerja dan perlu memberi tumpuan penuh kepada Durga Devi.
Menurut Chandram, walaupun hanya berdua menyambut perayaan tersebut, pintu rumah sentiasa terbuka untuk ahli keluarga, saudara dan jiran untuk menziarahi mereka bersama-sama meraikan Pesta Cahaya itu.
"Rutin setiap kali raya Deepavali, saya akan bangun awal pagi untuk mandikan Durga Devi dan pakaikan baju baharu. Setelah itu buat tosei, masak daging kambing dan ayam untuk dimakan setelah selesai sembahyang.
"Saya tidak tahu adakah tahun depan akan berpeluang lagi menyambut Deepavali bersama Durga Devi, apa yang diharapkan saya terus diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk meraikan selain terus menjaganya," katanya.
Dia yang merupakan abang kepada ibu Durga Devi dan tidak berkahwin berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Persatuan Permata Baiduri Malaysia di rumahnya hari ini.
Menceritakan mengenai Durga Devi, Chandram berkata, anak saudara perempuannya yang memanggilnya 'amma' mengalami masalah kesihatan sejak bayi lagi kerana dilahirkan tidak cukup bulan, hanya mampu baring dan duduk di atas kerusi roda.
Durga Devi katanya, tidak mampu bergerak dan menguruskan diri sendiri setelah tulang belakangnya bengkok selain urat sarafnya sudah kejang akibat tidak menerima rawatan terapi ketika kecil.
Chandram memberitahu, ibu kepada remaja itu, Sarasu meninggal dunia akibat sawan pada 2015 pada usia 47 tahun disusuli suami, Gengaraj meninggal dunia sebulan kemudian pada usia 70 tahun akibat penyakit paru-paru berair.
Kata warga emas itu, segala keperluan anak saudaranya itu diuruskannya yang ketika ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 dan Yayasan Pasir Gudang sebanyak RM80 sebulan.
"Dengan bantuan itulah saya membayar sewa rumah RM330 sebulan dan selebihnya digunakan untuk membeli barang dapur serta keperluan Durga Devi. Makanan pula kadang-kadang dibantu jiran yang kasihan dengan kami," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah berkata, pihaknya membantu remaja berkenaan dengan mendapatkan tajaan RM60,000 bagi tujuan terapi Durga Devi di sebuah pusat rawatan saraf di bandar raya ini.
Ujarnya, tajaan itu diberikan oleh Pengerusi Pertubuhan Integrasi Nasional Johor, Datuk Seri SK Tangakaliswaran.
"Harapan saya seperti juga Chandram, apa yang boleh kami buat, kami ikhtiar agar dengan rawatan saraf susulan ini Durga Devi dapat pulih dan mengurus diri serta menjalani hidup sama seperti remaja lain," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bank Persatuan Permata Baiduri Malaysia iaitu 551128630934 atau menghubungi Chandram pada talian 016-7744557 atau persatuan itu 013-706 5553.