IPOH - Kerajaan perlu menggiatkan usaha penggunaan teknologi termasuk kaedah mekanisasi peladang bagi menjadikan sektor perladangan lebih menarik dan cekap sekali gus dapat menarik penglibatan tenaga kerja tempatan menggantikan pekerja asing.
Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malik berkata, usaha awal boleh dilakukan melalui sistem pendidikan dengan menitik beratkan kemahiran dan rasa minat yang mendalam terhadap sektor 3D (Dirty, Dangerous and Difficult) terutama dalam pertanian dan perladangan.
Menurutnya, pembelajaran secara formal dan informal perlu disusun semula supaya penerapan nilai terhadap kerjaya berkaitan sektor berkenaan dapat diterap sejak di bangku sekolah lagi.
"Kerajaan juga boleh membentuk dasar yang lebih menarik dengan meletakkan pekerja di sektor pertanian dan perladangan sebagai kategori Khidmat Negara bagi menggalakkan pekerja tempatan di sektor ini memandangkan mereka berada dalam barisan ekonomi yang bersifat Jaminan Keselamatan Makanan (Food Security).
"Antara insentif yang boleh digerakkan untuk jangka panjang ialah skim insurans perlindungan khas pekerja ladang, skim pinjaman khas perumahan pekerja ladang dan skim bantuan simpanan pendidikan anak pekerja ladang (mendapat manfaat selagi mana mereka bekerja di sektor berkenaan)," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan Kempen Galakan Pekerja Ladang Tempatan secara besar-besaran supaya tahap kesedaran dan minat pekerja tempatan dalam sektor-sektor 3D dapat ditingkatkan.
Katanya, iGROW sendiri telah menjalankan program berkaitan kemahiran pekerja ladang tempatan dengan pengalaman lebih 10 tahun melatih belia tempatan untuk berkecimpung dalam pertanian dan perladangan.
"Pada masa ini, iGROW sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat perladangan terkemuka tanah air dalam melatih belia tempatan menyertai sektor perladangan dan pertanian.
"Terdapat belia tempatan yang masih berminat kerana ditawarkan bekerja di syarikat yang terkemuka dan kukuh, di samping gaji lumayan serta kaedah mekanisasi dan jenis pokok berteknologi tinggi yang mengurangkan beban tenaga kerja," katanya.
Nordin berkata, langkah kerajaan memperkenalkan program Rekalibrasi PATI (Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja) bermula 16 November 2020 hingga Jun 2021 adalah satu usaha yang perlu dilihat sebagai tindakan memulihkan ekonomi untuk tempoh jangka pendek.
Justeru menurutnya, kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan dengan situasi tenaga kerja sektor 3D akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ini sebagai peluang untuk melakukan pembaharuan pembudayaan, minat dan kecenderungan pekerja tempatan untuk menyertai sektor 3D, khususnya pertanian dan perladangan.
"Selain langkah-langkah jangka pendek seperti program Rekalibrasi PATI ini, kerajaan juga perlu mempunyai langkah-langkah jangka sederhana (2021-2025) dan pelan jangka panjang (10 tahun) bagi mengurangkan pekerja asing dan digantikan dengan tenaga kerja tempatan dalam sektor 3D secara berperingkat-peringkat," katanya.