Tumpahan minyak di Sungai Muda: Tujuh individu direman

Iklan
Lelehan minyak diesel dipercayai masuk ke tali air sebelum mengalir ke Sungai Muda sehingga menjejaskan kualiti air di LRA Jeniang Lama dan LRA Jeniang Baru.

SUNGAI PETANI - Tujuh individu direman enam hari bermula hari ini kerana disyaki menyebabkan pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Jeniang Lama dan LRA Jeniang Baru sehingga menjejaskan 34,200 akaun pengguna sejak Khamis lalu.

Perintah reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Muhammad Alif Abd Aziz ke atas tujuh individu berusia antara 27 hingga 38 tahun itu.

Iklan
Iklan

Mereka terdiri daripada dua orang kontraktor dan seorang penyelia tapak serta empat orang buruh warga Indonesia yang dipercayai sedang melakukan projek pemasangan paip kira-kira 100 meter dari lokasi LRA Jeniang Lama dan LRA Jeniang Baru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan ke lokasi kejadian mendapati terdapat kesan lelehan minyak diesel di bawah tong di tapak projek yang dipercayai mengalir ke tali air dan seterusnya masuk ke Sungai Muda.

Iklan

Menurutnya, tinjauan mendapati, tiada hadangan atau benteng pasir dibuat oleh pihak kontraktor menyebabkan sisa atau tumpahan minyak boleh masuk secara langsung ke saliran.

"Kerja pemasangan paip berukuran kira-kira 1.5 meter dan panjang kira-kira 24 meter dilakukan oleh sebuah syarikat bagi tempoh dua bulan bermula 1 Oktober 2020 yang ditender oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Iklan

"Di tapak projek terdapat tiga buah tong yang berisi minyak diesel untuk kegunaan mesin excavator dan generator, bagaimanapun disyaki berlaku lelehan di bawah tong," katanya.

Tiga tong mengandungi minyak diesel yang disyaki berlaku lelehan di tapak projek pemasangan paip berdekatan lokasi kejadian.

Akibat dari pencemaran tersebut mengakibatkan pihak Perbadanan Lembaga Air Kedah terpaksa menghentikan penyaluran air untuk peneutralan bagi kawasan Gurun dan Sik yang melibatkan lebih 34,000 akaun pengguna.

"Penyaluran dibuka secara berperingkat bermula semalam dan dijangka pulih sepenuhnya esok," katanya.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil lima sampel air, satu sampel tanah dan satu sampel diesel dari tong di tempat kejadian bagi tujuan siasatan.

Siasatan di tempat kejadian juga dibantu oleh JAS, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Perbadanan Lembaga Air Kedah.

"Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah mengambil lapan swab dari eksavator dan generator untuk tujuan DNA," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) membuka kertas siasatan bawah Enakmen Sumber Air Kedah 2008 di bawah Kesalahan Kawalan Pencemaran Seksyen 29 (2) dengan penalti bawah Seksyen 88 Kesalahan Am manakala JAS pula akan menjalankan siasatan bawah Seksyen 25 Pencemaran Air, Akta Alam Sekeliling 1974.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar tidak berupaya tangani krisis kewangan negara: Tun M