KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian bagi kemudahan akses ke akaun satu ahli KWSP yang dikenali sebagai i-Sinar, pada 18 November ini.
KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, i-Sinar yang kini sedang dimuktamadkan perinciannya, diwujudkan hasil konsultasi yang mendalam bersama-sama dengan pihak berkepentingan agar ahli yang terkesan dapat mengharungi cabaran semasa dan pada masa sama memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
Iklan
Iklan
"KWSP yakin bahawa amaun yang boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada akaun dua melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April 2020), dapat membantu ahli yang terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka masa pendek,” katanya.
i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.
Permohonan i-Sinar boleh dibuat bermula Disember 2020 dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke akaun bank pemohon bermula Januari 2021. - Bernama