Gangguan bekalan air di Sik, Kuala Muda pulih petang ini

Iklan
Suraya (tiga, kanan) meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Jeniang Lama ekoran tumpahan minyak diesel di sebuah tapak projek memasang 'jacking pipe' berdekatan di Kampung Berona Kiri, hari ini. -Foto Bernama

SIK - Gangguan bekalan air membabitkan 34,200 akaun pengguna dan menjejaskan lebih 130,000 penduduk di sekitar daerah Sik dan Kuala Muda sejak Khamis lepas, dijangka kembali pulih selewat-lewatnya petang ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob, tiga loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Jeniang Lama, LRA Jeniang Baru dan LRA Sungai Pau yang sebelum ini dihenti tugas susulan pencemaran sebelum ini telah beroperasi semula.

Iklan
Iklan

"LRA Jeniang Lama sudah mula beroperasi jam 5 petang semalam manakala LRA Sungai Pau pula mula beroperasi kira-kira 12 tengah malam tadi.

"LRA Jeniang Baru pula mula beroperasi kembali pada 9 pagi tadi, dan dijangkakan selewat-lewatnya petang ini semua akaun yang terjejas akan kembali menerima bekalan air,” katanya selepas melawat lokasi tumpahan minyak yang dipercayai menyebabkan pencemaran di tiga LRA berkenaan di Kampung Berona Kiri, dekat sini hari ini.

Iklan

Susulan kejadian itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran sumber air.

ARTIKEL BERKAITAN: Tumpahan minyak di Sungai Muda: Tujuh individu direman

Iklan

Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Mohd Suhaimi Mohd Jusoh memaklumkan, 34,200 akaun pengguna di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas tiga LRA tersebut ekoran pencemaran akibat tumpahan minyak diesel.

Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada tapak projek memasang ‘jacking pipe’ yang terletak kira-kira 100 meter dari LRA Jeniang Lama yang dijalankan oleh pekerja sebuah syarikat.

Polis telah menahan tujuh lelaki termasuk empat warga Indonesia yang dipercayai menjalankan kerja-kerja terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat. -Bernama