Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pihaknya memandang serius tindakan tersebut dan menyokong penuh jika tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa terhadap pelaku.
"Ini satu tindakan yang biadab kerana institusi Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam undang-undang negara. Rakyat Malaysia tidak harus sedikit pun mempersoalkan kedudukan itu dan tindakan itu harus dikenakan undang-undang tegas dari pihak berkuasa.
"Saya sokong semua tindakan tegas yang akan dikenakan kepada sesiapa yang melawan dan bercanggah dengan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media ketika ditemui pada program serahan baucar kepada golongan kurang berkemampuan di TMG Bandar Putra/Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
Semalam, seorang individu memuat naik satu posting berserta gambar yang keterlaluan merujuk kepada pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, di Kuantan semalam juga terdapat tindakan pemilik Facebook menimbulkan rasa tidak puas hati netizen apabila mengeluarkan komen yang tidak sepatutnya dan berbaur penghinaan kepada Yang diPertuan Agong.
Kecaman diterima bukan hanya melalui komen-komen malah turut tersebar rakaman video memaparkan dua individu tampil berdepan lelaki tersebut di hadapan kedai dipercayai miliknya berhampiran Kuantan Plaza di sini.
Video berdurasi 1.37 minit itu menyaksikan berlaku pertikaman lidah dua individu terbabit yang ternyata tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik kedai (Michael Cheah).
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya pendapat peribadi ahli, bukan DAP
Sementara itu, Fuziah turut menasihatkan masyarakat tidak melakukan tindakan melulu terhadap individu yang melakukan tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong.
"Pada pandangan saya, jangan gunakan kuasa di luar undang-undang tetapi gunalah kuasa yang ada di dalam undang-undang.
"Jangan ambil tindakan sendiri tetapi gunakan saluran yang betul mengikut undang-undang supaya individu tersebut dapat dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya.