LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mengusir 40 buah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak di sini semalam.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bot tersebut berjaya dikesan ketika Kapal Maritim (KM) Rawa melaksanakan Op Benteng di perairan negeri itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
"KM Rawa memberi amaran keras dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya mengiring kesemua bot nelayan negara jiran itu hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik untuk menceroboh perairan negara.
"Dalam tempoh dari 18 Mac hingga sekarang sejumlah 199 bot nelayan Indonesia diusir keluar selepas kesemuanya dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.
"Tindakan itu adalah untuk menyekat penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan koronavirus (Covid 19) dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, APMM akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutama di titik-titik panas berhampiran persempadan maritim negara untuk menyekat pendatang asing tanpa izin dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri ini.