Joe Biden perkukuh kedudukan rebut jawatan di Rumah Putih

Iklan
Trump (kanan) memberi isyarat beliau mungkin akur dengan kekalahannya. - Foto Agensi

WASHINGTON - Keputusan keseluruhan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 pada 3 November lalu yang diumumkan semalam menunjukkan bakal Presiden ke 46-AS, Joe Biden meraih 306 undi elektoral berbanding 232 undi elektoral yang diperoleh Donald Trump.

Ia sekali gus memperkukuhkan kedudukannya untuk merebut jawatan di Rumah Putih.

Iklan
Iklan

Biden yang mewakili Demokrat turut memberi tamparan hebat kepada Trump apabila beliau sekali lagi merampas kubu kuat Republikan di Georgia.

Negeri di tenggara AS itu adalah salah satu daripada lima negeri yang bertukar tangan kepada Demokrat malah calon presiden parti itu tidak pernah mencatatkan kemenangan sejak pencalonan Presiden ke-42 AS, Bill Clinton pada 1992.

Iklan

Pada mulanya, bilionair hartanah terbabit mendahului Biden di negeri terbabit, namun keputusan berubah apabila bandar Atlanta dan Savannah mula mengumpulkan serta mengira undi.

Ketika ini, Biden berada di hadapan Trump dengan kira-kira 14,000 undi dan proses kiraan undi secara manual dijangka selesai pada minggu depan.

Iklan

Di North Carolina pula, Presiden ke-45 AS itu diumumkan sebagai pemenang di negeri yang menjadi kubu kuat Republikan tersebut dengan 1.3 mata peratusan mendahului Biden selepas tarikh akhir untuk setiap daerah mengesahkan keputusan berakhir kelmarin.

Pada minggu lalu, Biden yang memperoleh 279 undi elektoral selepas diisytiharkan menang di Pennsylvania diumumkan sebagai Presiden dipilih rakyat Amerika sejurus beliau meraih majoriti 270 undi elektoral yang diperlukan.

Selepas lebih seminggu Trump berulang kali mendakwa pemilihan itu telah 'dicuri' daripadanya, pemimpin itu akhirnya seperti akur dengan kekalahannya dan ia mungkin menjadi isyarat beliau bersedia untuk menyerahkan kuasa kepada Biden.

"Apa pun yang berlaku dan siapa bakal memegang tampuk pemerintahan di Rumah Putih pada masa hadapan, hanya masa akan menentukan," katanya ketika berucap di Rose Garden.

Trump memberi respons agak berbeza buat pertama kali sejak 5 November lalu selepas beliau turut mengisytiharkan kemenangan sendiri.

Pemimpin tersebut yang masih mempunyai baki penggal pemerintahan selama kurang tiga bulan menegaskan beliau tidak lagi akan melaksanakan langkah lockdown untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) yang semakin teruk dan meragut lebih 243,000 nyawa di negara itu.

Trump kemudiannya meninggalkan acara tersebut tanpa memberi sebarang jawapan ketika disoal wartawan, 'bila anda mahu mengaku kalah pada Pilihan Raya Presiden AS itu?'. - AFP