KUALA LUMPUR - Dua kenderaan rosak akibat dihempap serpihan bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian hujan ribut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Jelatek, Keramat di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, sebuah Proton Saga kemek pada bahagian bumbung dan cermin belakang pecah sementara Perodua Myvi rosak di bahagian belakang kereta.
Mangsa, Khairi Helmi Abdul Wahab, 33 berkata, dia yang ketika itu berada di rumahnya di Blok 7 terdengar bunyi dentuman kuat yang disangkakan berlakunya kemalangan.
Menurutnya, dia menyedari terdapat objek besar di sebelah kereta Perodua Myvi miliknya ketika meninjau dari tingkat atas.
"Saya kemudian turun ke bawah untuk buat pemeriksaan dan mendapati bumper belakang, fender, pintu serta skirting alami kerosakan yang saya anggarkan kerugian hampir RM1,000.
"Laporan polis sudah dibuat untuk membuat tuntutan kepada pihak insurans dan juga pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandangkan kejadian berlaku bawah kawasan DBKL serta kereta diletakkan dalam petak parkir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, dia berharap DBKL dapat mengambil tindakan segera melakukan kerja penyelenggaraan termasuk penggantian bumbung bagi mengelak insiden berulang.
"Pihak persatuan memanjangkan perkara itu untuk perhatian DBKL. Saya difahamkan sebelum ini sudah ada cadangan mengenainya cuma belum ada tindakan dibuat," katanya.
Sementara itu, DBKL ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan kenyataan selepas laporan lengkap berhubung kejadian diterima.