Tapir jantan mati dilanggar kenderaan

Iklan
Seekor tapir jantan yang dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun mati akibat dilanggar kenderaan di Jalan Sungai Durian-Chenulang, Kuala Krai malam tadi.

KUALA KRAI - Seekor tapir jantan yang dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun ditemui mati akibat dilanggar kenderaan di Jalan Sungai Durian-Chenulang di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, tapir seberat 150 kilogram (kg) itu ditemui mati oleh anggotanya yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bangkai haiwan liar itu ditemui oleh anggota Perhilitan Kelantan pada jam 10 malam.

"Kita tidak menolak kemungkinan sebahagian besar hutan simpan yang sebelum ini menjadi habitat asal haiwan itu telah ditukar kepada ladang hutan.

Iklan

"Situasi itu menyebabkan tapir tersebut terpaksa keluar dari habitat asal ke lokasi baharu untuk mencari makanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ady Ermanty Haniff berkata, pihaknya mengambil serius perkara tersebut kerana ia melibatkan spesis yang dilindungi dan rondaan secara berkala dari masa ke masa.

Iklan

Beliau berkata, rondaan secara berkala dari masa ke masa akan terus dijalankan untuk mengelakkan hidupan liar keluar ke jalan raya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga Perhilitan Kelantan akan memasang perangkap berhampiran kawasan berkenaan dalam usaha menyelamatkan haiwan itu.

"Kami berpandangan pemasangan lampu-lampu jalan menggunakan kuasa elektrik atau solar mampu mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan hidupan liar," katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan berhati-hati ketika melalui kawasan itu terutama pada waktu malam.