JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja berusia 15 tahun yang merupakan rakannya pada 8 November lalu.
Tertuduh, Abang Ariff Haikal Abang Zaidel, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, V M Mabel Sheela.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang sudah tidak bekerja sejak tiga bulan lalu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman pada jam 5 petang di Bandar Baru Uda, Tampoi di sini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakar ke dalam dubur mangsa.
Disebabkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman dalam pendakwaannya memohon agar mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh sebelum meminta jaminan tinggi iaitu RM30,000 kerana melibatkan kesalahan jenayah seksual yang merupakan kesalahan berat.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar dikurangkan jaminan kerana sudah menginsafi dan menyesali perbuatannya itu.
Setelah mengambil kira rayuan tertuduh, Mabel Sheela kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin, manakala tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi-saksi yang terlibat dengan kes berkenaan.
Mahkamah menetapkan tarikh 15 Disember sebagai sebutan semula kes melibatkan laporan perubatan.