Tidak mampu hantar enam anak ke sekolah

Iklan
Abdul Wahid, Norliana dan lapan daripada sembilan anaknya hidup dalam keadaan serba kekurangan termasuk enam daripadanya tidak bersekolah ketika ditemui di kediamannya di Felda Papan Timur, Bandar Mas, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI - Akibat desakan hidup seorang bapa di Felda Papan Timur, Bandar Mas di sini tidak mampu menghantar enam anaknya ke sekolah.

Abdul Wahid Abd Rahman, 48, hanya bekerja di sebuah kedai mencuci kereta dengan gaji RM20 sehari dan pendapatan itu tidak cukup buatnya untuk menampung kos persekolahan anak-anaknya.

Iklan
Iklan

Bapa kepada sembilan anak berusia antara setahun hingga 19 tahun itu berkata, hanya anak sulungnya sahaja yang berjaya menamatkan persekolahan dan kini bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai runcit di Bandar Mas.

"Untuk menyekolahkan enam anak iaitu dua di sekolah menengah, tiga di sekolah rendah dan seorang di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) sudah pasti memerlukan wang yang banyak.

Iklan

"Saya tidak mampu dan gaji diperoleh anak sulung juga hanya cukup untuk perbelanjaan harian keluarga," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di kediamannya hari ini.

Abdul Wahid berkata, pada mulanya empat anaknya yang berusia 15, 13, 11, dan sembilan tahun itu berhenti sekolah pada 2018 selepas berpindah dari Taman Dahlia, Tampoi ke Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Iklan

Katanya, ketika itu dia hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta sebelum berhenti dan mencuba nasib mencari rezeki dengan menjadi pemandu e-hailing namun tidak bertahan lama.

"Disebabkan keadaan semakin terhimpit kami sekeluarga berpindah ke rumah peninggalan arwah bapa saya di sini untuk meneruskan hidup. Sepatutnya empat anak yang berhenti sekolah sebelum ini masuk sekolah semula pada tahun ini selain seorang berusia tujuh tahun masuk Darjah Satu dan seorang lagi berusia enam tahun masuk Tabika.

"Namun disebabkan memerlukan belanja besar untuk keenam-enam anak masuk sekolah, hasrat untuk menyekolahkan mereka terbantut," ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid turut memaklumkan bahawa isterinya, Norliana Abu Bakar, 40, tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan keperluan harian anak-anak mereka selain dua lagi anak mereka yang berusia lima dan satu tahun juga tidak diberikan susu seperti kanak-kanak lain.

Mereka yang bersimpati untuk membantu keluarga ini boleh berhubung terus dengan Abdul Wahid menerusi talian 011-61236024.